Resit menunjukkan minuman yang dibeli di restoran Yik Mun dikenakan SST.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa beliau bukan sahaja dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semasa membeli pau di restoran Yik Mun.

Tetapi, teh ais limau yang dibelinya turut dikenakan cukai.

Mengikut resit, minuman itu dikenakan SST sebanyak 6 peratus.

Najib berkata, mengikut jadual SST terbaharu, cukai jualan ke atas teh ais limau ialah sebanyak 10 peratus apabila minuman itu dibeli daripada pengilang.

Ini bermakna cukai 10 peratus sudah dimasukkan secara sembunyi dalam harga.

Najib memberitahu, apabila dikenakan lagi tambahan cukai jualan sebanyak 6 peratus, bermakna beliau membayar 10 + 6 cukai – lebih tinggi berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan sebanyak 6 peratus.

“Semalam, Lim Guan Eng berang dan kata saya tak jujur. Dia kata makanan ‘pau’ pun kena 6% GST dulu sama seperti 6% SST sekarang. Dia sangat suka marah saya. Dia demam.

“Persoalan saya: jika sama, kenapa nak tukar sistem cukai sedangkan apabila GST dimansuhkan, harga barang tidak turun?

“Bukankah Guan Eng pernah kata beberapa kali bahawa cukai SST hanya dikenakan pada pengilang sahaja dan bukan pengguna. Saya bukan pengilang, mengapa saya kena cukai 6% pula?,” soal Najib menerusi Facebook beliau.

Najib menegaskan, dengan GST peniaga yang mengelak cukai dan ekonomi gelap tidak dapat lari daripada cukai tersebut.

Hasilnya, kerajaan dahulu dapat menaikkan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia, selain bantuan lain, gaji dan bonus pejawat awam semakin naik.

Dengan SST, katanya, BR1M semaikin turun sehingga dimansuhkan, bantuan lain disekat, gaji dan bonus penjawat awam tidak dinaik atau dibatalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast