Khir toyo
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan isteri Zahrah Kechik - foto BERNAMA

KUALA LUMPURĀ – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini menafikan dakwaan beliau menyertai parti Melayu baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mohamad Khir berkata, sehingga kini beliau tidak mendengar lagi khabar angin mengenai perkara berkenaan apatah lagi menjadi penaja parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu di Parlimen Tanjung Karang.

“Ya (nafi sertai PPBM). Tak ada apa-apa lagi (bukti salinan borang dan gambar),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini yang mendakwa mempunyai bukti berbentuk salinan borang keahlian PPBM yang diisi sendiri oleh Mohamad Khir.

Bukan setakat itu sahaja, Jamal juga mempunyai beberapa gambar yang menunjukkan Mohamad Khir menjadi penaja PPBM Bahagian Tanjung Karang.

Bagaimanapun Jamal enggan mendedahkan kesemua bukti itu sambil berharap Mohamad Khir masih setia kepada perjuangan dalam UMNO.

Sebelum ini, kenyataan Mohamad Khir dilihat agak cenderung menyokong kepimpinan Mahathir selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Mohamad Khir menyokong pandangan Mahathir bahawa UMNO telah dikuburkan selepas PRU14 dan PPBM kini mengambil alih tugas menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini. – MalaysiaGazette