Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (tengah) bersalaman dengan peserta pada majlis Perasmian Program World Day Against Child Labour 2018 di The Everly Hotel, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Sembilan akta yang di bawah Kementerian Sumber Manusia akan dipinda dan ditambah baik, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran hari ini.

Kata beliau, undang-undang berkaitan buruh kanak-kanak juga antara akta yang terangkum dalam proses pindaan yang sedang diusahakan kementerian tersebut.

“Kita dalam proses meminda akta relevan antaranya berkaitan buruh kanak-kanak, akta perindustrian dan akta berkaitan penggajian pekerja.

“Kita mahu melaksanakan pindaan itu menjelang akhir tahun ini.

“Proses ke arah menambah baik dan meminda akta-akta berkaitan sudah dimulakan sejak beberapa bulan lepas,” katanya dalam sidang media selepas Pelancaran World Day Against Child Labour 2018 di Hotel Everly di sini bersama  Pengarah Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) bag Rantau Asia Pasifik, Tomoko Nishimoto.

Dalam perkembangan berkaitan ditanya mengenai sejauh mana proses tersebut, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga menjelaskan bahawa dua akta antaranya akta berkaitan perindustrian kini diperingkat akhir penambahbaikan dan pindaan.

Ujar beliau, pelbagai pihak berkepentingan telah dipanggil dan membincangkan mengenai penambahbaikan dan pindaan pada akta akta berkaitan.

Katanya, kementerian mahu memastikan ia dibawa dan dibentang ke Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.

Ditanya mengenai tahap keseriusan buruh kanak-kanak di negara ini, beliau berkata keadaan masih terkawal dan isu itu tidak timbul dan pada tahap sangat minimum.

“Jika kita lihat statistik, pada 2016 hanya 1 kes buruh kanak-kanak dilaporkan diikuti 2 kes masing masing bagi tahun 2017 dan 2018.

“Manakala dua kes daripadanya telah dirujuk ke mahkamah dan didenda RM2,000 setiap pelaku majikan pada tahun 2017,” katanya.

Secara keseluruhannya dianggarkan 152 juta kanak-kanak berumur antara 5 hingga 17 tahun dilibatkan sebagai buruh kanak-kanak megikut statistik Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

Manakala di rantau Asia Pasifik sahaja 62 juta kanak-kanak dilibatkan sebagai buruh dengan 28.5 juta daripadanya melakukan kerja sektor berbahaya.

Tomoko Mishimoto juga menyatakan kebimbangan angka sebenar buruh kanak-kanak di seluruh dunia mungkin mencecah lebih ratusan ribu lagi kerana kebanyakannya sukar dikesan dan diakses disebabkan berlaku di kawasan pedalaman dan terpencil di luar bandar.

Beliau turut mengharapkan Malaysia memainkan peranan lebih besar bersama sama dengan negara serantau menangani buruh kanak-kanak sebagai menjamin hak asasi, kebebasan dan hak pendidikan kanak-kanak itu.

Dalam perkembangan berkaitan Kulasegaran menambah di Malaysia situasi itu masih terkawal dengan undang-undang tegas tetapi mengakui masa ada beberapa kanak-kanak terlibat pekerjaan di perladangan dan pertanian kawasan pedalaman.

“Tapi ia bukan sebagai buruh sebenarnya mereka mengikut ibu bapa bekerja membantu.

“Sebagai langkah awal, memastikan buruh kanak-kanak tidaak wujud, kita sedang berusaha untuk menjejaki dan mengumpul data-data berkaitan, tetapi keseluruhannya ia terkawal kerana kita menggaji pekerja asing di negara ini dalam sektor yang diperlukan.

“Sejak saya memulakan tugas sebagai menteri telah mengarahkan pegawai saya mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas kerana mahu mereka yang tidak mematuhi peraturan buruh termasuk merekrut kanak-kanak sebagai buruh dihadapkan ke muka pengadilan,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast