Liow Tiong Lai
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama Pengerusi MCA Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Yew Teong Look sempat meluangkan masa berswafoto bersama para hadirin pada Konvensyen Tahunan MCA Wilayah Persekutuan di SJKC Wangsa Maju, Danau Kota, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – MCA tetap bertegas tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Pas buat masa ini.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, apa yang penting adalah semangat kerjasama Barisan Nasional (BN) yang telah dibentuk sejak sekian lama.

Namun bekas Menteri Pengangkutan itu mengakui, MCA tidak tahu kerjasama apa yang bakal dijalinkan oleh UMNO dan Pas pada masa akan datang.

“Apa yang jelas pendirian MCA tidak akan ada apa jua bentuk kerjasama dengan Pas.

“Apa yang penting kita tidak tahu apa bentuk kerjasama UMNO dan Pas. Bagi saya BN adalah satu gagasan yang sederhana dan inklusif dalam memastikan keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

“Jadi saya berpegang dengan pendirian BN dan jika ada parti komponen yang bercanggah dengan semangat BN, maka BN akan hancur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kerjasama UMNO dan Pas yang semakin menjadikan kenyataan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan tertinggi parti itu hadir pada Muktamar Pas Pusat ke-65 di Terengganu hari ini.

Tiong Lai menambah, sekiranya UMNO tetap menjalinkan kerjasama dengan Pas, MCA tidak akan bersama dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah tegas beliau, MCA tidak perlu keluar BN jika kerjasama terjalin antara dua parti itu.

“MCA tidak perlu keluar BN kerana BN terbentuk kerana UMNO, MCA dan MIC dan kita semua adalah pengasasnya.

“Semangat BN adalah sederhana dan keharmonian kepelbagaian. Jika bercanggah dengan semangat itu maka hancurlah BN. Tidak ada keluar atau masuk BN lagi,” katanya.

Ditanya BN akan dibubarkan sekiranya kerjasama UMNO dan Pas direalisasikan, Tiong Lai berkata, ia bergantung kepada bentuk kerjasama dua parti itu kerana MCA tidak dimaklumkan tentang hasrat kerjasama sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast