KUALA LUMPUR – Meskipun mengakui pengaruh UMNO semakin susut, Datuk Mohamed Khaled Nordin yakin parti keramat itu tidak akan musnah.
Sebaliknya, parti itu akan dipertahan, dirawat dan pulihkan untuk mengembalikan semula pengaruhnya.
Naib Presiden UMNO itu berkata, UMNO bukan sekadar sebuah parti sebaliknya ia adalah gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu dan satu-satunya institusi politik Melayu.
“Cercalah. Perlilah. Katakanlah apa jua, insya-Allah kami akan terus menghidupkan UMNO. Kerana bagi kami, UMNO ini bukan sekadar sebuah parti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.
Hakikatnya, kata Khaled, UMNO masih parti terbesar di Parlimen dan parti itu masih mendapat kepercayaan sebahagian besar orang Melayu.
Malah UMNO jauh lebih dominan, kuat dan berpengaruh daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Katanya, setakat waktu dan saat ini, tidak ada gerakan secara besar-besaran meninggalkan UMNO dan menyertai PPBM.
“PPBM yang terus-terusan mengeluarkan pelbagai kenyataan bahawa pintunya masih terbuka luas kepada ahli-ahli UMNO untuk menyertainya.
“Amatlah jelas, PPBM sangat memerlukan segala sokongan yang ada kerana kedudukannya begitu rapuh di dalam perikatan politik nasional ketika ini.
“Dengan dipimpin oleh negarawan yang sudah lanjut usia, dengan jumlah kerusi yang sangat sedikit, dan barisan Kabinet amatur yang amat tidak menyerlah, PPBM masih belum berjaya meyakinkan orang Melayu.
“PPBM masih tidak dapat menyatupadukan orang Melayu,” tegas Khaled lagi.
Beliau menjawab kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu wawancara yang menyatakan UMNO telah musnah, lantaran itu PPBM ditubuhkan.
“Ada lagi PAU (Perhimpunan Agung Umno)? Saya fikir dah habis tapau.”
“Parti yang tunggang-langgang, masuk longkang, dah hancur. Sepatutnya sudah sampai masa untuk orang Melayu memikirkan bahawa UMNO sudah tidak wujud lagi, kita tinggalkan, tak ada maknanya,” kata Muhyiddin.
Khaled mengakui UMNO kehilangan kuasa pada PRU14 tetapi UMNO bukan kehilangan pengaruh.
Perhitungan kemenangan kerusi dalam pilihan raya banyak sekali ditentukan oleh dominasi dan sumbangan sebab-sebab lain.
Kepada kebanyakan orang Melayu, UMNO masih cukup meyakinkan dan di kawasan pedalaman Melayu, UMNO terus berpengaruh.
Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, dalam ketiadaan PPBM menyediakan agenda dan pelan yang jelas untuk membela kepentingan bangsa, UMNO terus dirujuk dan diingati sebagai gerakan politik yang konsisten dalam jasa baktinya untuk kebaikan orang Melayu, tanpa mengabaikan kepentingan orang-orang lain.
Atas dasar ini, UMNO akan melakukan segala sehabis baik untuk melonjakkan pengaruhnya tatkala PPBM sangat bergantung pada ihsan DAP, PAN dan PKR yang masih tidak jelas bagaimana untuk mengepalai orang Melayu.
Selain itu, katanya, UMNO dibangunkan atas ideologi yang sangat jujur. Bahawa misi utamanya adalah melakukan kebaikan kepada bangsa Melayu dan berlaku adil kepada bangsa lain bagi membentuk Malaysia yang sejahtera.
Selama 60 tahun, UMNO tidak pernah hilang fokus dalam membangunkan kemandirian bangsa Melayu serta kebolehsaingan Malaysia.
Sedangkan PPBM telah ditubuhkan tanpa sebarang latar ideologi yang konkrit.
Lahirnya hanya kerana amarah seorang negarawan yang berselisih pandangan dengan Presiden UMNO yang lalu.
Sampai waktu ini, tidak ramai ahli PPBM sendiri yang boleh menjelaskan kepada orang Melayu, atas ideologi apakah parti tersebut wujud dalam arena politik negara.
Perlu diingatkan, di dalam UMNO, tidak semua berpendirian bahawa bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib itu benar dan betul malah ramai sekali di dalam UMNO yang mahu Datuk Seri Najib mengambil tanggungjawab ke atas kemelut 1MDB.
“Kami semua bukan ‘yes man’. Cuma, kami mempunyai cara kami sendiri dalam menguruskan isu dalaman.
“Saya akui, sebelum ini UMNO amat bersifat presidential-centric. Dan saya ingin tegaskan, antara mereka yang bertanggungjawab membangun dan membenarkan struktur sebegini dalam UMNO adalah Tan Sri sendiri serta Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Malah, kematangan perjalanan politik Tan Sri bermula dan mencapai kedewasaannya semasa berada di dalam UMNO. Tidak ada pihak yang boleh menafikan semua ini,” kata Khaled.
Apa yang berlaku dalam PRU-14 lalu adalah satu kes terpencil yang menyaksikan UMNO terpaksa membayar harga yang sangat tinggi kerana memilih untuk mengutamakan Presiden daripada parti dan institusinya.
“Tetapi, itulah fitrah kehidupan. Kami tidak menyesal. Tapi, kami akan belajar dari kesilapan. UMNO faham pengajaran besar ini dan berhasrat untuk tidak mengulanginya lagi.
“Insya-Allah kami akan Islahkan UMNO, selari dengan firman Allah di dalam Al-Quran; “Barangsiapa yang beriman dan mengadakan kebaikan, maka tak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati”,” ujarnya.
Tegas Khaled lagi, walaupun pengaruh UMNO telah menyusut tetapi adalah juga benar bahawa konteks politik Malaysia tidak akan stabil jika politik Melayu dan Islam terus berkecamuk tanpa sebarang kesepakatan dan kesatuan niat.
UMNO yang lemah adalah sangat tidak strategik kepada kepentingan bangsa Melayu dan masa depan Malaysia.
Walau apa pun keadaannya, UMNO harus terus ada untuk orang Melayu, demi mempertahan dan memperbaharui budaya serta jati diri bangsa itu sendiri.
UMNO akan terus menggalas tanggungjawabnya, mMalah UMNO akan lebih berperanan daripada PPBM kerana parti itu masih lagi bukan kuasa politik Melayu yang dominan.
Menurut Khaled, UMNO sangat mengerti peranan barunya dan akan memastikan parti ini lebih efektif dalam melaksanakan apa yang perlu untuk semua rakyat Malaysia.
“Saya percaya, Malaysia Baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang menang tidak akan menang semuanya, dan yang kalah tidak akan hilang segalanya.
“Dan dalam keghairahan Bersatu merai kemenangan PH, mereka lupa bahawa, telah wujud satu sistem politik yang bukan lagi berdasarkan pertembungan di antara dua gabungan politik yang besar.
“Malaysia waktu ini akan dicorakkan oleh ‘one political coalition against a myriad of political parties’. Maknanya, semua parti politik mempunyai pengaruh dan kepentingan strategik sendiri dalam pembentukan kerajaan. Setiap satunya harus strategik dan terbuka dalam menentukan survival,” katanya.
Yang pastinya, UMNO, PAS, MIC, MCA, GPS di Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah, berbekalkan formula yang betul dan utuh, mampu membentuk satu gabungan politik yang berupayanya memberi tentangan hebat kepada Pakatan Harapan.
Tidak mustahil, untuk kesemua parti ini bergabung bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menubuhkan sebuah gabungan baharu ‘Pakatan Malaysia’, bukan lagi ‘Pakatan Harapan’.
“Bila tiba masanya nanti, hanya Tuhan sahaja yang tahu akan peranan, kedudukan dan masa depan PPBM.
“Insya-Allah UMNO tidak akan musnah,” tambahnya. – MalaysiaGazette