Datuk Abdul Aziz Derashid

KOTA BHARU – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jeli Datuk Abdul Aziz Derashid akan memangku jawatan ketua UMNO Bahagian itu yang dikosongkan selepas penyandangnya Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada UMNO semalam.

Beliau meminta seluruh anggota UMNO bahagian tersebut bertenang dengan tindakan Mustapa itu dan memberi tumpuan kepada perjuangan parti.

“Saya akan bertemu dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bagi membincangkan tindakan Mustapa itu dan langkah-langkah seterusnya yang akan diambil bagi memperkukuhkan parti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Mustapa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu susulan hala tuju UMNO kini tidak selari dengan perjuangannya.

Mengulas perkara sama, Veteran UMNO Kelantan tidak menjangka pemimpin ‘besar’ seperti Mustapa boleh meninggalkan UMNO tanpa menunjukkan tanda-tanda lebih awal beliau mahu berbuat demikian.-BERNAMA