Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Datuk Jalaluddin Alias berkata, beliau sama sekali tidak akan menjadi seorang bacul atau dayus berpolitik dengan meninggalkan UMNO semata-mata kerana Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Ahli Parlimen Jelebu itu menafikan sekeras-kerasnya spekulasi kononnya akan meninggalkan UMNO berkata, beliau tidak pernah merancang, bercadang, berhasrat atau memikirkan mengenai tindakan untuk meninggalkan UMNO.

“Sebagai seorang pemimpin yang lahir dan melalui perjuangan dalam kilang UMNO serta memenangi kerusi Parlimen Jelebu dalam atas tiket BN/UMNO, maka saya tidak akan sekali-kali meninggalkan parti keramat UMNO.

“Saya akan tetap dengan pejuangan dan mandat UMNO/BN yang diberikan oleh para pengundi dalam Parlimen Jelebu pada PRU14,” tegas beliau sambil berikrar tidak akan menghampakan harapan dan mengkhianati kepercayaan diberi oleh rakyat kepada UMNO/BN.

Beliau akan terus berpegang teguh kepada prinsip mempertahankan parti dalam apa juga keadaan sekalipun.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO optimis melihat bahawa parti itu berpeluang cerah untuk kembali menawan hati rakyat jelata, apatah lagi di saat-saat kerajaan Pakatan Harapan dilihat gagal membela rakyat sepenuhnya.

Lantaran itu, Jalaluddin berharap ahli-ahli UMNO di seluruh negara bertenang dan tidak terpengaruh dengan berita-berita palsu yang tersebar di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast