Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainal Abidin mengesahkan wujud perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bergabung. 

Katanya, perbincangan tersebut dilakukan dua bulan yang lalu selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diberi mandat untuk mengadakan pertemuan bersama parti itu. 

“Ada perbincangan di antara Ahli Parlimen BN tentang macam mana kita nak berpakat dengan PPBM supaya kita dapat bergabung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Menara Dato’ Onn sebentar tadi. 

UMNO katanya, melihat kesesuaian untuk bergabung dengan PPBM berbanding PKR atas sebab tujuan penubuhan parti dan atas tujuan menyelamatkan Melayu. 

“Kalau boleh pakat dengan PPBM dapat balik bersama-sama kerajaan kita pilih yang terbaik,” katanya.

Bukan hanya PPBM, malah parti itu tambah Zahidi, mengadakan perbincangan dengan PKR dan Pas. 

“PKR ditubuhkan nak jatuhkan Mahathir tapi diangkat jadi PM jadi kedua-dua parti ini kalau nak berpakat tak sesuai sebab PKR pun parti berbilang kaum jadi pilihan kita PPBM. Kita cuba berbincang dengan PPBM untuk selamatkan Melayu.

“Mahu Pas tapi Pas berbelah bagi, kita cari jalan terbaik sebab kita mahu orang Melayu diselamatkan ini matlamat UMNO,” ujarnya.

Terdahulu, Zahid diaporkan mengesahkan bahawa ahli Parlimen parti itu menandatangani akuan bersumpah (SD) memberi kuasa kepada presiden UMNO mengadakan pakatan baru dengan parti lain seperti mana yang dikatakan oleh Datuk Seri Nazri Aziz.

Zahid berkata, kesemua 51 Ahli Parlimen UMNO menandatangani SD tersebut dan tidak menolak kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan parti komponan Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette