Tan Sri Shafee Abdullah
Peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shafee Abdullah ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menghadapi beberapa pertuduhan anak guamnya mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Peguambela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sekali lagi menegaskan bekas perdana menteri itu tidak tahu pihak yang memasukkan wang tunai berjumlah RM1 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Malah katanya, anak guamnya itu juga telah memulangkan semula 90 peratus daripada wang yang diterima kepada kerajaan Arab Saudi yang difikirnya sebagai derma.

Beliau mendakwa, Bank Negara Malaysia juga tahu berkenaan transaksi tersebut dan dakwaan pusat kewangan itu tidak mengetahui mengenai perkara itu tidak boleh diterima.

“Langkah yang diambil oleh Najib itu adalah memandangkan PRU-13 lalu berlangsung pada 5 Mei tahun berkenaan. Selepas bulan Jun tahun 2013 beliau telah mula bayar balik wang itu.

“Pertuduhan itu telah dipecahkan kepada 21 dan bukannya ia bertindak 21 kali itu,” katanya di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mewakili Najib di Mahkamah Sesyen di sini  hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee gembira dengan pendakwaan ke atas anak guamnya yang dianggap tidak ditimbang dengan semasak-masaknya oleh pihak pendakwa.

Katanya, ia telah menunjukkan bahawa pihak pendakwaan terdesak untuk membawa Najib ke mahkamah.

“Saya agak terkejut tetapi pada masa sama gembira dengan jenis pendakwaan yang dibawa mereka, kerana saya fikir ia adalah pendakwaan yang terdesak.

“Ia tidak menunjukkan apa-apa secara lebih mendalam berbanding (pendakwaan) dan ia juga jelas menunjukkan pihak berkuasa terdesak untuk membuat pendakwaan berkenaan 1MDB untuk menunaikan janji manifesto mereka,” ujarnya.

Hari ini bekas perdana menteri itu didakwa dengan empat tuduhan rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette