Najib Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Najib Tun Razak menganggap pendakwaaan melibatkan 25 pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Jalan Duta dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLAFTA) dan Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah peluang untuknya membersihkan nama.

Kata bekas perdana menteri itu, isu mengaitkan RM2.6 bilion telah digunakan habis-habisan untuk memburukkannya serta mencercanya.

Dengan pertuduhan hari ini, katanya, membuka peluang untuk beliau menyatakan kebenaran untuk membersihkan diri daripada fitnah.

“Bahawa saya bukan seorang pencuri dan mudah-mudahan perjalanan mahkamah akan berkesudahan untuk menegakan kebenaran dan melenyapkan isu 2.6 bilion sama sekali.

“Saya suka juga nyatakan bahawa pertuduhan yang dilakukan pada hari ni terbahagi tiga peringkat yang pertama dana yang diterima, kedua dana yang digunakan dan ketiga dana yang dipulangkan balik pun didakwa.

“Inilah yang saya perlu terangkan mungkin ada pihak yang terkeliru seolah-olah 21 pertuduhan ini mengemparkan tetapi kalau kita pandang sekali imbas memang menggemparkan sebaliknya kalau kita memahami fakta yang sebenarnya dan kita buat perkiraan kita akan buat kesimpulan bahawa saya telah memulangkan satu jumlah yang besar sebaik sahaja lepas PRU-13.

“Jadi, kalau kita ambil kira segalanya kita boleh buat kesimpulan yang mudah-mudahan yang memihak kepada kebenaran akan timbul dalam perbicaraan yang saya sedang hadapi,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah selepas menghadapi 25 pertuduhan  dan ia mencatatkan sejarah perbicaraan paling banyak pertuduhan di negara ini.

Beliau dalam perkembangan sama, mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas layanan baik kepada beliau.

Justeru katanya, beliau tidak mempunyai masalah melalui proses perbicaraan asalkan mendapat keadilan sewajarnya.

Ditanya apakah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut bakal menerima nasib sama, beliau secara ringkas menjawab;”Saya tidak tahu lagi”.

Ditanya mengenai dakwaan pihak bahawa ia satu penganiayaan terhadap beliau dan akan ditahan dalam lokap, Najib berkata, beliau tidak masuk lokap sebaliknya akan berada dalam bangunan SPRM.

“Saya juga berpuas hati dengan prosiding sebab ini merupakan permulaan tetapi saya perlu terangkan maksud sebenarnya daripada pertuduhan yang telab dikenakan pada saya.

“Saya juga tidak mahu membuat apa apa tuduhan pada mana mana pihak (percubaan menjatuhkannya) tetapi nasib saya terpaksa menghadapi proses mahkamah, ada orang lebih bernasib baik dari saya sudah ada pertuduhan pun sudah ditarik balik.

“Tapi saya terpaksa melalui tuduhan ini tapi insya Allah berkat doa semua pihak dan rakyat jelata mudah mudahan saya dapat ‘membersihkan’ nama saya,” katanya.

Ditanya lagi keyakinan beliau memenangi kes yang dihadapinya, beliau menjawab dengan tenang; “Saya tidak mahu buat apa apa kenyataan yang boleh dianggap sebagai mempengaruhi atau pun subjudis dalam kes ini.

“Tapi tentulah bagi pihak saya dan pasukan peguambela insya Allah kita ada fakta yang memihak kepada kita dan mudah-mudahan jika mahkamah ini berlaku adil kita percaya bahawa apa yang kita harapkan bahawa keputusan itu nanti dapat menunjukkan bahawa the rule of law benar-benar wujud di negara ini,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette