KUALA LUMPUR – Portal berita video, KiniTV dan dua pengarahnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menghantar komunikasi jelik menerusi video oleh bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mengkritik Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dua tahun lepas.
Hakim M.M Edwin Paramjothy membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujahan Pegawai Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Nazrul Nizam Mohd Zameri dan peguam Fahri Azad yang bertindak bagi pihak dua pengarah KiniTV iaitu Steven Gan Diong Keng, 56 dan J. Premesh Chandran, 49.
Representasi kedua-dua orang kena saman (OKS) untuk menggugurkan pertuduhan berkenaan telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara, katanya.
“Pihak kami menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan terhadap kedua-dua orang kena saman (OKS), mohon kedua-duanya dilepas tanpa dibebaskan kerana kes ini belum diputuskan atas merit dan oleh itu tidak wajar bagi mahkamah melepas dan membebaskan mereka,” katanya.
Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama dan Nazrul Nizam memaklumkan pihaknya telah bersedia dengan enam orang saksi.
Sementara itu Fahri dalam hujahnya memohon mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya kerana alasan untuk menarik balik pertuduhan itu selain melepas tanpa membebaskan Steven Gan dan Premesh tidak kukuh.
Beliau berkata sekiranya mahkamah tidak memberi kebebasan penuh kepada kedua-dua anak guamnya pertuduhan itu akan tergantung pada mereka.
Selain itu, katanya, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mengkritik Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam video itu masih belum didakwa di mahkamah.
KiniTV didakwa atas dua pertuduhan yang ia secara sedar memulakan penghantaran satu komunikasi yang bersifat jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain berupa paparan video dalam dua versi – bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Dua video berkenaan adalah dengan tajuk “Khairuddin: Apandi Ali not fit to be AG, he should quit immediately” dan “Khairuddin: Apandi Ali tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan”.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 244(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, jika sabit kesalahan.
— BERNAMA