Hanya kerana mahu lulus ujian memandu, seorang penuntut kolej bertindak di luar jangkaan dengan mengacukan sebilah pisau kepada seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kenderaan motor elektrik (EV) dan Kenderaan Motor milik Orang Kelainan Upaya (OKU) akan diberi insentif pengecualian bayaran fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) sepenuhnya selaras dengan pengumuman kerajaan melalui Bajet 2022..- Gambar hiasan.

TEMERLOH – Belum ada mana-mana individu di negeri ini yang telah menyerahkan lesen terbang mereka kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang secara sukarela setakat ini, kata Pengarah JPJ negeri, Mohammad Abdullah hari ini.

Justeru beliau menggesa mereka yang memegang lesen terbang untuk berbuat demikian di mana-mana cawangan JPJ berhampiran sebelum tarikh akhir 12 Okt depan.

Beliau juga mengalu-alukan jika jabatan atau agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahagian integriti atau audit mahu melakukan siasatan dalam perkara itu.

“Kami mengalu-alukan sekiranya siasatan untuk tujuan ini dilaksanakan dan sedia memberikan kerjasama penuh untuk siasatan dilakukan dan pada masa sama sentiasa menekankan aspek integriti kepada pegawai dan anggota kami di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Khas Pengarah siri 3 di Stesen Timbang JPJ Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Temerloh di sini malam tadi.

Sebelum ini Kementerian Pengangkutan mengesyaki kira-kira 14,000 lesen terbang dikeluarkan sejak dua tahun lalu susulan pembongkaran sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook meminta pemegang lesen terbang tampil dan menyerahkan lesen mereka kepada Unit Integriti JPJ di seluruh negara dalam tempoh sebulan bermula 12 Sept lalu.

Mengulas mengenai operasi itu, Mohammad berkata sebanyak 180 kenderaan diperiksa dengan 14 kompaun dikeluarkan oleh JPJ dan tujuh daripada pihak polis atas pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi selama empat jam bermula pukul 8 malam itu turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang membawa kepada penahanan seorang pemandu kenderaan mewah kerana positif dadah methamphetamine.

Mohammad berkata sebuah kenderaan lebih muatan 65 peratus daripada jumlah dibenarkan juga ditahan kerana melakukan kesalahan yang boleh didenda sehingga maksimum RM500,000.

— BERNAMA