KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menyokong keputusan Mesyuarat Kabinet semalam untuk menurunkan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Naib Presidennya, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) memang ada menyebut janji parti itu untuk menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun.
Ini, katanya, akan membuka ruang kepada golongan muda yang berusia 18 tahun ke atas untuk menyatakan pendirian dan pandangan mereka dalam politik.
“Penurunan umur ini juga bukan bermakna ia menguntungkan kita, tidak. Itu bukan isunya. Isunya kita membuka ruang.. (soal) untung siapa terpulanglah kepada parti-parti politik yang ingin melihat suara orang muda dalam pentadbiran negara melalui demokrasi berparlimen.
“Sudah tentu isu itu perlu diperlanjutkan dalam konteks perundangan. Kita kena bawa ke Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1440 peringkat Wilayah Persekutuan di Dewan Muktamar, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kompleks Pusat Islam di sini, hari ini.
Mesyuarat Kabinet semalam bersetuju dengan usul menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun seperti yang diamalkan selama ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, usul untuk menurunkan had umur itu akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan sebelum dilaksanakan.
Beliau berkata, perubahan itu melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, manakala Peguam Negara, Tommy Thomas serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menyatakan persetujuan dalam pindaan berkenaan. – MalaysiaGazette