Tun Daim Zainuddin.

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan langkah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin yang didakwa mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin UMNO.

Menurut beliau, tindakan Daim itu tidak salah sambil berkata, beliau pun ada menegur beberapa pemimpin UMNO sebelum ini selepas dibebaskan daripada penjara.

“Apa fitnah pula kalau Tun Daim nak jumpa ahli UMNO, tidak salah, Saya dulu pernah jumpa di lapangan terbang dua orang, ada tanya khabar sama ada nak kekal dalam UMNO atau tidak.

“Bagi saya tidak ada masalah, saya ada pertemuan dengan Tun Daim dan kita bincang banyak perkara bersama. Saya tidak fikir ini harus dijadikan satu isu yang boleh menimbulkan ketegangan antara kita,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sebelum ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Lokman Adam mendedahkan punca utama bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertindak meninggalkan parti itu adalah kerana tekanan daripada Daim.

Malah katanya, Daim telah memberikan kata dua kepada Mustapa atau Tok Pa agar meninggalkan UMNO atau berdepan dakwaan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Tok Pa disiasat polis berhubung satu dana politik. -MalaysiaGazette