Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyerahkan buku kepada balu allahyarham Kassim Ahmad, Sharifah Fawziah Syed Eusoff Assagoff (tengah) dan anak allahyarham Kassim Ahmad, Ahmad Shauqi Kassim (kanan) pada Majlis Pelancaran Buku Autobiografi Seorang Pemberontak 'Kassim Ahmad' di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 SEPTEMBER 2018
Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyerahkan buku kepada balu allahyarham Kassim Ahmad, Sharifah Fawziah Syed Eusoff Assagoff (tengah) dan anak allahyarham Kassim Ahmad, Ahmad Shauqi Kassim (kanan) pada Majlis Pelancaran Buku Autobiografi Seorang Pemberontak 'Kassim Ahmad' di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 21 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr Rais Yatim percaya penulis buku kontroversi, Allahyarham Kassim Ahmad menyertai UMNO kerana faktor Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan berkata, Perdana Menteri tidak mahu mengaku diri beliau adalah faktor tersebut.

Jelas beliau, ramai yang tidak tahu Mahathir sering berhubung dengan tokoh akademik veteran itu sebelum ini.

Kassim memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia selama 12 tahun sebelum meninggalkan parti itu pada 1984 dan menyertai UMNO selepas itu.

“Kassim kalau lama dalam UMNO, mungkin sudah bergelar Tun. Saya kira allahyarham masuk UMNO pun kerana Mahathir namun Mahathir tidak mahu mengaku.

“Saya percaya beliau masuk UMNO kerana prinsip yang benar dan ramai yang tidak tahu Mahathir selalu berhubung dengan Kassim untuk mendengar idea-idea beliau yang memiliki fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku Autobiografi Seorang Pemberontak: Kassim Ahmad di sini hari ini.

Turut hadir isteri allahyarham, Sharifah Fauziah Syed Yusuff.

Mengulas lanjut, Rais mengakui Kassim memang seorang pemberontak yang mentafsir sesuatu perkara yang nyata dan boleh diperbincangkan serta bukannya secara imperikal.

Jelas beliau, hujah Kassim yang juga penyajak dan penyair itu boleh diletakkan dalam arena perdebatan di kalangan cerdik pandai.

“Kita kehilangan seorang yang berani mengemukakan pandangan walaupun sering dipandang prejudis.

“Allahyarham seorang sahabat dan ahli politik yang budiman. Orang yang kutuk beliau sebenarnya tidak baca pun buku-buku beliau,” katanya.

Sementara itu, buku autobiografi itu ditulis Kassim sejak empat tahun lalu namun allahyarham meninggal dunia di usia 84 tahun pada 10 Oktober tahun lalu.

Kassim terkenal dengan karya ‘Hadis: Satu Penilaian Semula”, sebuah kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam dan buku itu diharamkan kerajaan pada 1986.

Karya itu juga menyebabkan beliau dianggap sebagai antihadis.

Kassim mengulangi pandangannya dalam buku itu dalam sebuah seminar pada Februari 2014 yang menyebabkan penulis berkenaan diheret ke mahkamah.

Pada seminar “Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian – Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang” itu beliau menuduh golongan ulama mengawal Islam di Malaysia sama seperti sistem kepaderian dan mempersoalkan penggunaan hadis untuk menerangkan ajaran al-Quran. Beliau juga berhujah rambut wanita bukanlah sebahagian daripada aurat.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah membebaskan dan melepaskan Kassim selepas mengarahkan tuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ditarik balik.

Beliau turut berjaya mendapatkan pengisytiharan dari mahkamah sivil yang tindakan Jawi menahan dan mendakwanya sebagai di luar bidang kuasa agensi berkenaan. – MalaysiaGazette