KUALA LUMPUR – Seiring dengan dunia di hujung jari hari ini, pelbagai laman web muncul bagi menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan kepada para pelanggan.
Tekonolgi yang semakin canggih dan pantas ini membolehkan lebih banyak perkhidmatan ditawarkan di alam maya tanpa perlu orang ramai bersusah payah mengharung kesesakan lalu lintas di jalan raya.
Lantaran itu, mengambil kira faktor itu sebuah laman web khusus untuk mengumpulkan tenaga jurusolek, jurudandan, jurugambar dan perancang perkahwinan telah diwujudkan.
Dikenali sebagai Casamua, ia adalah laman web dan aplikasi telefon bimbit yang memudahkan pencarian secara lebih cepat dan khusus untuk pelanggan.
Sasaran pelanggan adalah di kalangan masyarakat yang memerlukan perkhidmatan jurusolek, jurudandan, jurugambar dan juga perancang perkahwinan.
Pengasas Casamua, Jason Rajah memberitahu, laman web dan aplikasi mula beroperasi sejak September 2016.
Jelas beliau, idea tercetus apabila ketika itu dia sukar untuk mencari jurusolek bagi sebuah sesi penggambaran sebuah drama.
Justeru, dia yakin Casamua akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada jurusolek, pendandan rambut dan perancang perkahwinan.
“Bagi mereka yang telah lama berkecimpung dalam perkhidmatan ini, Casamua boleh membantu mereka untuk menawarkan perkhidmatan profesional kepada pelanggan.
“Dalam laman web ini, semua maklumat terkini tentang profil perkhidmatan professional serta portfolio tenaga profesional akan diberikan untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan.
“Contohnya portfolio jurusolek tersebut akan dinyatakan pencapaian dan pengalaman mereka dalam bidang solekan bagi membolehkan pelanggan membuat pilihan jurusolek mengikut citarasa serta bajet mereka.
“Ini secara tidak langsung akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada bakal jurusolek kerana Casamua turut berperanan untuk memudahkan jurusolek mempamerkan hasil kerja mereka bertujuan bagi meningkatkan keyakinan pelanggan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Jason menambah, Casamua juga dapat mengurangkan kos pemasaran dan mengiklan yang terpaksa ditanggung oleh tenaga profesional ssebelum ini.
Ini kerana katanya, kos pengiklanan dan pemasaran melalui media massa seperti televisyen, surat khabar dan majalah agak mahal berbanding dengan pengiklanan melalui atas talian.
“Peluang ini diambil oleh Casamua dengan menyediakan satu laman web yang menawarkan perkhidmatan pengiklanan dengan harga jauh lebih murah berbanding media massa konvensional.
“Menerusi Casamua, pelanggan boleh terus membuat pilihan serta tempahan dengan lebih cepat dan mudah. Satu temu janji akan diaturkan secara atas talian dan pelanggan tidak perlu untuk keluar dan bertemu dengan jurusolek pilihan kerana ia akan memakan banyak masa dan tenaga.
“Kemudian, inbois perkhidmatan akan juga dihantar melalui sistem online kepada pelanggan,” katanya.
Jason memberitahu, pengunjung yang melayari Casamua memiliki kelebihan apabila mereka boleh memilih tenaga kerja profesional ini mengikut lokasi dan bajet yang mereka tetapkan sendiri.
Apatah lagi katanya, banyak idea boleh diperbaharui sentiasa dikemaskini melalui maklumat yang disalurkan di dalam laman web ini.
“Selain itu, testimoni jurusolek juga boleh dibaca melalui maklumat yang dimuatnaik di dalam laman web ini.
“Hubungan secara pantas ini pastinya akan menjimatkan lebih banyak masa pelanggan. Maka, pelanggan tidak perlu lagi keluar rumah untuk membuat tempahan.
“Saya berharap kewujudan Casamua ini akan memudahkan kedua dua belah pihak sama ada tenaga profesional mahu pun pelanggan untuk bertemu di alam maya serta pelbagai maklumat terkini tentang industri solekan boleh diketahui dengan lebih cepat dan mudah,” katanya.
Tambah Jason, tenaga profesional yang menyertai Casamua hanya dikenaka yuran pendaftaran sebanyak RM399 untuk tempoh setahun dan promosi percuma selama sebulan.
Jelasnya, Casamua kini memiliki seramai 300 tenaga profesional dan menyasarkan jumlah itu meningkat kepada 1,000 orang pada tahun depan. – MalaysiaGazette