Noor Rashid Ibrahim
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim beramah mesra dengan sebahagian peserta pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Futsal Piala KPN di KSL Futsal Sport Centre Setapak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Penubuhan IPCMC atau Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salah Laku Polis adalah sejajar dengan misi dan visi Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu mempertingkatkan integriti dalam kalangan anggota dan pegawainya untuk berkhidmat lebih cemerlang pada masa hadapan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau menyambut baik pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai keputusan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya itu.

“Tetapi kami hendak meneliti bagaimana hendak melaksanakannya supaya ia lebih berkesan dan membawa hasil yang diharapkan.

“Ia penting supaya keadilan kepada semua termasuk polis secara saksama dapat dicapai dan dibela haknya.

“Kita tidak ada masalah kerana pada kemudian hari hak anggota juga akan terbela pada masa sama memberi komitmen terbaik,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan yang memberi lampu hijau penubuhan IPCMC sebagai menjaga integriti dan sebarang salah laku polis.

Noor Rashid berkata, IPCMC bukan sekadar integriti, tetapi juga melibatkan bagaimana ia boleh meningkatkan tahap kompitensi dalam kalangan anggota beruniform itu.

“Sebab kompitensi sangat berkait rapat dengan perkhidmatan telus dan efisien,” ujar beliau.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk ahli politik telah mencadangkan IPCMC perlu diwujudkan segera dalam usaha memperkasa tahap integriti dan perkhidmatan polis.

Ia juga dikatakan bertujuan untuk mengelak sebarang salah laku polis melibatkan kes-kes yang dikendalikan mereka.

Kematian tahanan dalam lokap secara berterusan sejak beberapa tahun lalu juga menyebabkan desakan pelbagai aktivis dan badan bukan kerajaan mahu IPCMC ditubuhkan. – MalaysiaGazette