Ariff Farhan Abdullah
Ketua Strategi dan Penerangan PIBM, Ariff Farhan Abdullah bercakap pada sidang media Majlis Pelancaran Penubuhan dan Pembentukkan Parti Baharu dan memperkenalkan barisan penaja protem Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM) di WOW KL, MATIC, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM) ditubuh berdasarkan keperluan dan kehendak kaum India Muslim di negara ini.

Perkara itu ditegaskan Ketua Strategi dan Penerangan PIBM, Ariff Farhan Abdullah yang memberitahu, parti itu bukan diwujudkan bagi memberi sokongan kepada mana-mana parti politik sama ada diperingkat kerajaan mahupun pembangkang.

Malah, langkah menubuhkan PIBM ditengah-tengah kemelut politik yang melanda negara ketika ini juga adalah secara kebetulan dan ia tidak dipengaruhi oleh sesiapa sebaliknya, sekadar menyokong agenda kerajaan.

“Kami ada banyak kerja yang kena dahulukan termasuk gerak kerja serta menambahkan ahli sebelum kami boleh jadi mana-mana gabungan parti politik dalam negara ini.

“Tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang diluar daripada kelompok kaum India Muslim dan sebab itu kita dengan jelas tidak berhasrat untuk bersama dengan Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media penubuhan parti itu di sini hari ini.

Ariff berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah pengwujudan PIBM sama ada dipengaruhi parti politik kerajaan atau berhasrat menjadi komponen bagi mengelak sebarang tuduhan oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam pada itu Ariff Farhan berkata, perancangan untuk menubuhkan parti berkenaan juga telah lama dibuat dan perbincangan dengan banyak pihak termasuk secara individu, kerajaan dan NGO juga telah dibuat.

Katanya, parti itu juga boleh bekerjasama dengan pembangkang bagi tujuan yang baik dalam membangunkan negara dan masyarakat.

Bulan lalu, sebuah Parti politik baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) ditubuhkan oleh bekas Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Dr Ibrahim Ali.

Putra turut diterajui bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Khalid Yunus yang bertindak sebagai timbalan presiden.

Penubuhan parti yang menggunakan lambang ‘tanjak’ itu membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/09/21/pibm-jadi-suara-wakili-india-muslim-di-malaysia/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast