Iklan ubat menggugurkan kandungan dijual di Facebook yang mendapat perhatiani Dr Rusyainie Ramli.
Iklan ubat menggugurkan kandungan dijual di Facebook yang mendapat perhatiani Dr Rusyainie Ramli.

KUALA LUMPUR – Pakar perubatan, Dr Rusyainie Ramli kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menjual ubat menggugurkan kandungan secara dalam talian terang-terangan.

Beliau mengesyaki ubat tersebut yang dijual menerusi laman sosial Facebook adalah misoprostol iaitu pil yang sering digunakan untuk menggugurkan kandungan menerusi kaedah perubatan.

Katanya, jenama yang mudah didapati ialah Cytotec.

Bimbang perbuatan tersebut semakin berleluasa, beliau telah melaporkan urusniaga ubat menggugurkan kandungan itu kepada Kementerian Kesihatan.

Mengulas lanjut di Facebooknya, Dr Rusyainie yang sememangnya aktif di media sosial dalam menyedarkan orang ramai tentang ilmu perubatan berkata, Cytotec yang mengandungi Misoprostol 200mcg adalah ubat terkawal berdaftar dengan KKM.

“Dan ia dikelaskan sebagai Racun jenis B yang boleh didapati di klinik swasta atau boleh dibeli di farmasi dengan preskripsi doktor.

“Cytotec diluluskan untuk kegunaan merawat ulser di perut dan duodenum. TAK BOLEH GUNA UNTUK BENDA LAIN,” katanya.

gugur2Bagaimanapun, beliau kesal kerana individu tidak bertanggungjawab yang digelar ‘makhluk’ itu telah menyalahguna pil tersebut sebagai kaedah untuk menggugurkan kandungan.

Dr Rusyainie juga melahirkan rasa pelik bagaimana ‘makhluk’ tersebut memperoleh ubat terkawal itu dan dari mana sumber mereka.

“Kalau yang diseludup masuk dari negara luar, tak berdaftar, mana tahu tercemar ke tak ubat ni dengan racun lain?” soalnya.

Beliau berkata, menggugurkan kandungan bukan seperti buang air kerana perbuatan tersebut sangat bahaya dan mempunyai komplikasi yang akhirnya boleh membawa maut tanpa pemantauan doktor dan fasiliti yang lengkap.

“Pendarahan dari rahim yang tak berhenti dan sakit abdomen yang teruk sangat, bukan benda main-main,” katanya menyenaraikan antara komplikasi penggguran secara haram.

gugur1Menurut beliau, perbuatan menggugurkan kandungan adalah salah di sisi undang-undang dan berdasarkan Akta 574 Seksyen 312 Kanun Keseksaan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Malah, katanya jika si ibu meninggal dunia, mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah  Seksyen 314 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

“Kecuali dengan sebab masalah perubatan, itu pun setelah mendapat persetujuan dua doktor, dan satu mesti Pakar Sakit Puan, dan dibuat di hospital, baru boleh diteruskan prosedur menggugurkan kandungan.

“Bukan beli dalam FB macam beli gula-gula timbang!” katanya. – MalaysiaGazette