Muhammad Khalil Abdul Had
Muhammad Khalil Abdul Had

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyokong ketegasan Putrajaya dalam menolak aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Menurut beliau, Pemuda Pas mengalu-alukan kenyataan dan komitmen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyifatkan ia satu keputusan yang tepat.

“Kami berharap penolakan Perdana Menteri adalah satu keputusan kerajaan dan ia harus didokong oleh semangat tanggungjawab kolektif semua menteri dan pemimpin Pakatan Harapan.

“Keputusan PM juga mesti diambil sebagai satu ‘point of reservation’ dalam konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia seperti International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimation (ICERD),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa Malaysia tidak boleh meĀ­nerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia diamalkan di negara-negara Barat merangkumi LGBT serta perkahwinan sejenis.

Dr Mahathir berkata, meskipun ada pembentangan mengenai perkara itu daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), namun nilai-nilai yang dipegang oleh Malaysia adalah berbeza dengan masyarakat Barat.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata parti itu juga menolak usaha mana-mana pemimpin negara yang mahu menormalisasi aktivisi songsang LGBT samada menerusi promosi dan pertahan hak mereka.

“Rakyat Malaysia perlu peka dan tegas menolak pemimpin-pemimpin tersebut kerana mereka akan merosakkan nilai Islam dan budaya masyarakat Malaysia.

“Kebebasan yang dijamin dalam perlembagaan bukan bermaksud kebebasan mutlak, sebaliknya ia mesti dipertanggungjawab di bawah had yang sewajarnya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette