KUALA LUMPUR – UMNO Sabah mengesyorkan pucuk kepimpinan baharu lebih berani bertindak di luar kebiasaan dengan mengkaji semula moto Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat.
Ini kerana menurut wakil UMNO Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, moto seperti itu tidak lagi relevan dengan perjuangan parti apabila ramai pemimpin yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) keluar parti selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) 9 Mei lalu.
“Moto itu memang relevan, tetapi selepas 9 Mei lalu, UMNO Sabah merasakan ia tidak dihayati dan diamalkan seperti dahulu.
“Di Sabah, kerajaan negeri bertukar dalam tempoh 24 jam dari BN kepada Pakatan Harapan setelah beberapa wakil rakyat BN bertindak keluar parti,” katanya pada sesi membawa usul Ucapan Dasar Presiden, Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Menurut Pandikar Amin, UMNO Sabah kesal dan kecewa dengan tindakan beberapa wakil rakyat berkenaan yang melompat parti dan mengutuk keras perbuatan tidak bermoral sehingga BN kehilangan sebuah negeri.
“Dalam perhimpunan ini, UMNO Sabah mengutuk tindakan wakil rakyat ini. Mereka pemimpin yang dipilih dan dicalonkan oleh parti untuk bertanding, apabila mereka menang, tetapi di peringkat Persekutuan kalah, mereka tinggal UMNO.
“Mereka sepatutnya rasa malu dan bersalah dengan perbuatan itu, tetapi mereka tunjuk sikap seolah UMNO yang salah dan UMNO yang seharusnya terhutang budi kepada mereka.
“Dan yang lebih mrungsingkan dan amat menyakitkan hati kami, mereka ini mempermainkan slogan UMNO ketika mereka berada dalam Pakatan Harapan. Mereka bersikap gunting dalam lipatan, memperlekehkan kewibawaan dan saf kepimpinan UMNO, seolah tidak betul dan dia seorang yang betul,” katanya.
Walhal, kata beliau, secara realitinya pemimpin berkenaan tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan sepanjang berada dalam parti.
Katanya, beliau sudah mengesyaki lebih awal dengan perangai wakil rakyat itu apabila tidak ghairah berebut sebarang jawatan dalam parti, berbanding kesungguhannya sebelum ini.
“Lebih pelik lagi, sikap pemimpin ini ketika UMNO gemilang, tidak bertanding dalam sebarang jawatan. Rupanya, mereka sudah bersedia untuk tinggalkan UMNO selepas parti kalah.
“Selain itu, mereka juga tidak melibatkan diri dalam usaha UMNO memulihkan parti. Golongan seperti ini kalau dalam undang-undang tentera, boleh dihukum gantung,” katanya. – MalaysiaGazette