Danyal Balagopal Abdullah
Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bercakap pada sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Haparan, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto SYAFIQ AMBAK, 02 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Sistem saliran di seluruh daerah Port Dickson yang berusia antara 25 hingga 30 tahun memerlukan kerja pemulihan dan penambahbaikan pada kadar segera.

Bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah berkata, ia tidak bermakna pihak berkuasa tidak sedar situasi itu, malah pelan penambahbaikan sudah ada dan telahpun dirujuk Majlis Perbandaran Port Dickson, kementerian berkaitan.

“Selain itu saya juga telah membangkitkan isu berkenaan di Dewan Rakyat pada penggal yang lalu dan menteri yang berkenaan sedang meneliti projek menaiktaraf sistem saliran menjangkau usia itu yang memerlukan perhatian segera,” katanya pada sidang media hari ini.

Danyal yakin bakal calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson mampu mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut demi manfaat masyarakat tempatan serta industri pelancongan di bandar itu.

SEmentara itu beliau memberitahu, terdapat 15 projek terbengkalai di Port Dickson yang mencacatkan pemandangan pesisiran pantai bandar itu.

Namun katanya, kesemua projek yang dikenalpasti itu milik swasta.

“Projek terbengkalai berkenaan sangat rumit misalnya masalah tanah dan kelulusan bank yang mengekang pembangunan projek itu sehingga terbiar separuh jalan tetapi kita tidak boleh melakukan apa apa sehingga ia ditangani segera.

“Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut dimaklumkan mengenai masalah ini untuk diteliti sejurus selepas PRK menerusi satu mesyuarat tergempar kelak,” katanya.

Malah Danyal turut mengakui isu kebersihan kritikal mengugat tarikan pelancongan bandar itu akibat diabaikan penduduk tempatan. – MalaysiaGazette