Isa Samad
Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad bersalaman dan bertanyakan khabar kepada sebahagian veteran tentera sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Kampung Baru, Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 03 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Samad mendakwa ramai pengundi di kawasan itu mula mempersoalkan kelayakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah beliau percaya institusi kehakiman di negara ini mempunyai kuasa bagi menentukan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri itu layak untuk bertanding di Port Dickson atau tidak.

“Kalau berlaku, maka betulkan ramalan Takiyuddin, kalau tidak tak apa.

“Bagi saya tidak ada masalah sama ada dia layak atau tidak, itu soal yang akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam siri kempen bersama lebih 50 veteren tentera di Kampung Baru Teluk Kemang, Port Dickson.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa akan berlaku PRK yang kedua sekiranya mahkamah memutuskan Anwar hilang kelayakan bertanding sebagai ahli Parlimen.

Takiyuddin berkata, Anwar tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Menurut beliau, pada 16 Mei lalu, Anwar hanya dikurniakan pengampunan penuh di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang merujuk kepada ‘dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta’.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berharap agar pengundi keluar mengundi biarpun pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Kalau misalnya dalam tempoh setahun baru akan rakyat terasa bahang PRK itu. Tapi dalam tempoh lima atau enam bulan selepas PRU14, itu menjadikan minat rakyat dalam politik semakin kurang.

“Saya harap ini tidak menjadi satu faktor rakyat PD tidak turun mengundi,” katanya lagi.

Jumaat lalu, seorang pengundi berdaftar di Port Dickson, Noraziah Mohd. Shariff, 38, mengemukakan saman pemula bagi memohon perisytiharan mahkamah bahawa Anwar tidak layak bertanding untuk mana-mana kerusi Parlimen.

Selain itu, pencadang bagi calon Pas, telah mengemukakan surat bantahan terhadap pencalonan Anwar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon, Sabtu lalu. – MalaysiaGazette