Rais Yatim

PORT DICKSON – Jika Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan Pakatan Harapan tidak perlu terikut-ikut sepenuhnya dengan Manifesto dan ia disokong oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi Tan Sri Rais Yatim pula mempunyai pendapat berbeza dalam soal itu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan itu berkata, manifesto ialah satu tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan sewenang-wenangnya oleh Kerajaan Pusat.

“Saya berpandangan berbeza sedikit daripada lain, manifesto adalah panduan dan asas asas pemilihan.

“Jika sebahagian besar manifesto itu tidak menjadi kenyataan, kita akan ditegur oleh rakyat.

“Misalnya hal berkaitan harga barang, petrol, tol dan KWSPsupaya rakyat terasa perkara perkara ini dikaji dengan teliti.

“Sekiranya dia tak buat begitu maknanya apa gunanya manifesto dan kita tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut,” katanya di Majlis Pemimpin Bersama Pesara di Taman Intan Perdana di Teluk Kemang malam tadi.

Tambah bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, semasa manifesto dibuat pemimpin PH terpaksa berhujan berpanas untuk menentukan apa harus dibuat bagi negara ini.

Katanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri berjaya membawa negara ke arah ‘Rule of Law’ untuk menstabilkan semula pentadbiran dan pengurusan ekonomi negara.

Ujarnya, tanggungjawab terhadap perbuatan jenayah 1Malaysia Development Berhad sudah dibuat, kajian beberapa tol telah dilakukan dan hal-hal konsumerisme sedang dilaksanakan.

“Jadi perkara-perkara yang kita senaraikan ini banyak juga yang telah dibuat dan sedang dibuat, kenapa nak ditolak saja walhal ia soal praktikaliti.

“Maka kita majukan hujah-hujah ini untuk meyakinkan masyarakat bahawa Pakatan Harapan ialah bahtera yang sebenarnya boleh melayari samudera perjuangan yang paling hebat di tanahair kita.

“Ini saya kira sangat bergantung kepada manifesto, kalau tidak ada manifesto bermakna tabir layar kita tidak ada. Kalau tidak ada tabir layar maka kapal tidak boleh belayar, itu pandangan saya mungkin rakan-rakan dalam PH tidak setuju,” tegasnya. – MalaysiaGazette