Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihaknya tentang pentingnya menghormati dan mematuhi undang-undang ketika berucap pada perhimpunan Bersana Warga JPM di Putrajaya.
Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihaknya tentang pentingnya menghormati dan mematuhi undang-undang ketika berucap pada perhimpunan Bersana Warga JPM di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini menekankan betapa pentingnya keluhuran undang-undang dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak tanpa mengira apa pun kedudukan mereka.

Berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini, Dr Mahathir berulang kali mengingatkan bahawa hanya undang-undang dapat memastikan negara bebas daripada huru-hara.

Katanya, walaupun kerajaan diberi kuasa, tetapi bukan bermakna kuasa tersebut boleh digunakan sewenang-wenangnya sebaliknya ia mesti dikuatkuasakan mengikut undang-undang negara.

Menurut perdana menteri, demokrasi perlu mengikut rule of law (kedaulatan undang-undang) dan kegagalan memberi keutamaan kepada undang-undang akan menyebabkan berlakunya huru-hara di dalam negara kita.

Katanya, kuasa pemerintah tidak bermakna pemerintah boleh berbuat apa sahaja sebaliknya semua pihak termasuk hakim dan raja-raja terikat oleh undang-undang yang digubal bertujuan memastikan segalanya dilaksanakan tanpa mengetepikan kepentingan rakyat.

“Saya percaya menteri Kabinet, timbalan menteri dan raja-raja akan patuhi undang-undang negara, tanpa undang-undang mereka tidak ada kuasa untuk melakukan apa sahaja,” katanya.

Menyentuh lebih lanjut mengenai undang-undang, Dr Mahathir berkata, jika wujud peruntukan yang menekan rakyat atau memimbulkan ketidakadilan, maka undang-undang tersebut boleh dipinda.

Malah, katanya, kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil langkah ke hadapan dengan menubuhkan Jawatankuasa Parlimen dalam hal pelantikan hakim-hakim.

Ini kerana, menurut perdana menteri, sebelum ini pelantikan hakim tidak ditapis oleh Parlimen, oleh itu peraturan baru diwujudkan supaya pemilihan hakim diserahkan kepada institusi itu.

“Merekalah (wakil rakyat dan rakyat) yang akan menentukan baik atau tidak calon yang dikemukakan.

“Kalau dulu tidak ada pemeriksaan, sekarang kita perkenalkan parliamentary committee yang akan tapis calon dan kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan sedang cuba memulihkan pemerintahan di negara ini, dan jika ada mana-mana pihak tidak patuh kepada undang-undang maka proses tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau turut mengulangi betapa pentingnya kerajaan menghormati hak rakyat dan rakyat boleh membantah jika hak mereka ditindas oleh pemimpin yang merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja.

Katanya, sesuatu undang-undang yang jika didapati tidak baik boleh dipinda atau dimansuhkan tetapi selagi undang-undang ada maka semua pihak perlu mematuhinya dan tidak ada mana-mana pihak boleh mengetepikan undang-undang. – MalaysiaGazette