Penulis dan penyajak tersohor, Vairamuthu didakwa melakukan pelbagai ganguan seksual terhadap artis

CHENNAI – Penyanyi popular India, Chinmayi Sripaada terus menjadi perhatian dunia apabila terus mempertahankan dakwaan gangguan seksual leh penyajak dan penulis tersohor, Vairamuthu.

Malah, sejurus pendedahan mengejutkan Chinmayi itu mula dilaporkan oleh media sejak beberapa hari lepas, beberapa lagi ‘mangsa’ tampil membuat dakwaan sama berhubung perbuatan Vairamuthu.

Bagaimanapun, Vairamuthu setelah mendiamkan diri sejak pendedahan itu semalam tampil menafikan semua tuduhan tersebut dan mendakwa ia sengaja dilakukan oleh golongan berkepentingan bagi menjatuhkan maruah dirinya.

“Ketika ini sudah menjadi satu amalan kepada golongan tertentu untuk terus mendapat perhatian serta pengiktirafan. Ini bukan kali pertama saya dihina dan dicerca dengan pelbagai dakwaan dan pembohongan. Ini hanya salah satu daripadanya.

“Saya tidak mahu mengulas lebih daripada ini, masa akan tentukan kebenaran,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik dalam laman sosial.

Namun demikian, dengan pantas Chinmayi menjawab kembali kenyataan Vairamuthu dengan satu perkataan, ‘PENIPU’ sehingga mendapat pelbagai reaksi terutamanya yang menyokong penyanyi itu.

Dakwa Chinmayi lagi dalam laman Twitter, beliau tetap bertegas dengan pendedahan terdahulu tentang sifat sebenar Vairamuthu tentang gangguan serta cabul dilakukan olehnya.

“Kepada semua yang membahaskan dan berdebat tentang kebenaran dakwaan saya, anda juga bebas menuduh saya perempuan murahan atau mengeji saya, saya tidak kisah dengan semua.

“Hakikat dan realitinya, Vairamuthu adalah ‘binatang seksual’. Ini akan saya tegaskan sehingga ke kubur saya sampai bila-bila,” tegasnya.

Chinmayi sebelum ini menuduh Vairamuthu cuba berkelakuan tidak senonoh di Switzerland dengan mengajaknya duduk sebilik dengannya di sebuah hotel terkemuka di situ selepas sesi konsert.

“Dia menghantar semua krew pulang dengan lebih awal, saya bersama ibu terpaksa tinggal.

“Dia kemudian menghantar pesanan dengan meminta saya ‘bekerjasama’ atau karier nyanyian saya akan musnah, saya tidak peduli dan minta pulang kembali ke India. Ini juga bukan kali pertama malah saya juga bukan orang pertama, ada ramai lagi mangsanya,” dedah Chinmayi.

Selepas beberapa hari pendedahan Chinmayi, artis dan pemuzik terkenal di California, Sindhuja Rajaram, 32 yang merupakan warga India kini tinggal di Amerika Syarikat (AS) juga membuat dakwaan sama tentang Vairamuthu.

Kata Sindhuja, dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual lelaki berkenaan beberapa tahun dahulu sebelum mendapat kekuataan untuk berkongsi kisah hitam itu secara terbuka apatah lagi Vairamuthu merupakan antara artis paling berpengaruh India.

Tinjauan MalaysiaGazette di laman sosial juga mendapati Chinmayi mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk media dan juga artis yang merasakan dakwaan itu ada juga kebenaran.

Ramai dalam kalangan artis dan warga media kini tampil menceritakan tentang pengalaman berdepan ‘orang terhormat, berpengaruh’ besar yang bertindak melakukan perbuatan itu.

Malah sebuah pergerakan dengan hastag #MeToo turut bergiat cergas dalam isu ini terutamanya dengan memberikan kesedaran kepada lebih ramai wanita untuk berani tampil membuat pendedahan walaupun terpaksa berdepan dengan ‘golongan berkuasa dan berpengaruh’. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast