KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Menteri Kewangan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berjanji harga barangan akan turun selepas pelaksanaan cukai SST.
Bekas Perdana Menteri yang sejak akhir-akhir semakin lantang mempersoalkan dasar dan hala tuju kerajaan PH mempertikaikan ‘pusingan U’ Lim Guan Eng dalam isu pemansuhan GST dan pelaksanaan SST.
Najib dalam laman sosial Facebook mempersoalkan kenapa kerajaan mahu memansuhkan GST dan mengggantikan SST jika harga barang tidak turun sekaligus menyusahkan rakyat.
“Sebelum PRU-14, beribu-ribu orang keluar ke jalan raya, beratus ceramah dan propaganda yang kata mansuhkan GST dan pulang kepada cukai SST akan turunkan harga barang. Kini tidak lupa. Lebih parah, PH dakwa tidak pernah berjanji demikian,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Guan Eng di Parlimen yang menegaskan dirinya tidak pernah berjanji dengan pemansuhan GST dan digantikan dengan SST maka harga barang atau kos sara hidup akan menurun.
Malah Guan Eng juga mencabar mana-mana pihak khasnya wakil pembangkang supaya tampil membuktikan bila dan di mana beliau berjanji sedemikian dan seandainya tiada maka mereka berhenti menyebarkan fitnah.
Najib juga menambah, kerajaan yang ketika itu pembangkang memainkan propaganda dengan pemansuhan GST sekaligus harga barang akan dapat diturunkan dengan pelaksanaan SST tetapi kini berubah pula.
“Kalau tidak akan turunkan harga barang, mengapa bermati-matian mahu mansuhkan GST yang lebih telus dan pulang kepada SST yang banyak kelemahan?, tegas Najib. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2018/10/15/tunjuk-bukti-mana-saya-cakap-harga-turun-jika-perkenal-sst-guan-eng/