KUALA LUMPUR- “Ini bukan pengakhiran hidup, semua orang pernah membuat kesalahan dalam hidup masing-masing, tampil ke hadapan kerana masih ramai yang mahu membantu anda,” nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kepada remaja-remaja yang terlanjur atau hamil di luar nikah.
Mengulas mengenai kes kematian seorang remaja meninggal ketika bersalin di dalam tandas rumahnya, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau sedih dengan insiden tersebut.
“Saya sedih apabila mendengar kes sebegini boleh berlaku.
“Mungkin kita perlu perbanyakkan pendidikan yang merangkumi semua aspek supaya perkara sebegini tidak lagi berulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Fiqh dan Persidangan Fiqh Antarabangsa keempat di sini hari ini.
Ahad lalu, seorang remaja berusia 18 tahun ditemui mati bersama seorang bayi lelaki, dipercayai menanggung kesakitan lebih lima jam dalam tandas rumahnya di Taman Kerian Permai, Ipoh.
Mangsa yang berkurung dalam bilik air sejak jam 8.30 pagi ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya kira-kira jam 2 petang selepas berjaya memecahkan pintu tandas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, kedua-dua mereka bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Wan Azizah, beliau masih menantikan butiran terperinci mengenai kes tersebut sebelum boleh memberi komen lanjut. – MalaysiaGazette