Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan dan berkemungkinan besar dibunuh, wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi turut dirasai oleh pemimpin di negara ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyeru supaya kerajaan Arab Saudi tampil memberi penjelasan kepada masyarakat antarabangsa berhubung kehilangan serta pembunuhan bekas Ketua Pengarang Al Arab News Channel itu.

Sambil melahirkan rasa simpati kepada nasib yang menimpa Khashoggi sejak 2 Oktober lepas, Nik Nazmi mahu sesuatu dilakukan bagi membela kematiannya.

Jelas Nik Nazmi, sesebuah negara tidak boleh dianggap maju jika akhbarnya tidak dibenarkan melaporkan berita secara bebas selain menyatakan pendapat tanpa rasa takut dan berpihak kepada sesiapa.

“Saya sememangnya amat prihatin dan terkesan atas laporan kehilangan Khashoggi. Media perlu diberikan kebebasan supaya dapat melaporkan sesuatu dengan telus dan bebas.

“Media massa juga perlu diberikan keyakinan untuk terus menyampaikan, menulis dan melaporkan sesuatu berita tanpa sedikit pun rasa takut atau berpihak kepada sesiapa. Jika itu berlaku, baru dunia boleh menganggap negara itu maju sebenarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi yang juga merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan mengulas kehilangan kolumnis akhbar Washington Post itu yang amat lantang mengkritik Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman disyaki telah dibunuh di bangunan konsulat itu pada 2 Oktober lalu dan mayatnya sudah dialihkan.

Beberapa khabar berita yang mendakwa Khashoggi telah diseksa oleh pihak berkuasa Arab Saudi berikutan kelantangannya itu sebelum di bunuh dan mayatnya telah dikerat-kerat dan ditanam dalam hutan.

jamal
Jamal Khashoggi. foto Agensi

Namun demikian, berkali-kali Arab Saudi tampil menafikan dakwaan yang dilakukan oleh Turki.

Khashoggi dilaporkan hilang pada 2 Oktober lalu selepas dia memasuki bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki ketika mahu mendapatkan dokumen perkahwinannya.

Para pegawai di Turki mendakwa, Khashoggi yang juga merupakan warga Amerika Syarikat sejak dua tahun lalu dibunuh di dalam bangunan tersebut.

Presiden Amerika Syarikat, Do­­nald Trump sebelum ini me­ngancam hukuman tegas akan di­kenakan jika Washington mendapati Khashoggi dibunuh di Konsulat Arab Saudi.

Washington Post menyiarkan kolum terakhir tulisan Khashoggi mengenai kepen­tingan kebebasan akhbar di Asia Barat sebelum dia dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast