Presiden Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada Pelancaran Buku
Presiden Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada Pelancaran Buku "The End Of UMNO? Where is UMNO headed after GE14?" di AIAC Auditorium (KLRCA) Bangunan Sulaiman, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR – UMNO masih disifatkan sebagai sebuah parti yang kuat walaupun kini sedang berdepan dengan pelbagai dugaan termasuk pemimpin tertingginya dihadapkan ke mahkamah.

Selain itu, UMNO juga berdepan dengan cabaran seperti segelintir pemimpin dalam parti yang sudah ‘cabut’ sejak kekalahan terbesar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.

Menurut Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, pihak lawan akan berterusan cuba menumbangkan UMNO namun selagi ada yang percaya serta mempertahankan perjuangan parti, ia kekal sebagai parti terkuat.

“UMNO masih sebuah parti yang kuat. Orang sebut-sebut kononnya UMNO sudah lemah, tidak relevan dan sebagainya kerana kini kita tidak mempunyai kuasa seperti dulu lagi.

“Kita masih mempunyai 49 kerusi Parlimen Dewan Rakyat walaupun ada beberapa kerat sudah ‘cabut’. Ini tidak bererti UMNO sudah lemah.

“Dugaan yang sedang dihadapi oleh UMNO dengan segelintir pemimpin sedang menghadapi tuduhan di mahmakah juga sangat terpencil, akar umbi serta orang bawahan tidak akan rasa apa-apa. Pemimpin atasan sahaja yang merasakan dugaan cabaran besar itu.

“Jika seseorang itu mati atau sudah meletak jawatan dan pergi tidak bermakna parti itu juga sudah mati. Hakikatnya, UMNO akan terus ada dan kukuh jika perjuangan parti terus menjadi pegangan,” katanya.

Beliau yang dikenali dengan Ku Li berkata demikian selepas majlis pelancaran buku The End of UMNO di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ku Li terus berikrar akan terus setia kepada UMNO sehingga bila-bila.

“Saya sudah setia dengan UMNO untuk lebih 58 tahun malah saya telah menjadi wakil rakyat untuk hampir 50 tahun. Kesetiaan saya tetap dengan UMNO.

“Bagaimanapun, saya akan bersara pada penggal ini, cukuplah umur saya sudah jangkau 81 tahun. Saya tidak berminat untuk bertanding apa-apa dalam parti atau jawatan ahli parlimen lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast