Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuh sokongan di Selangor apabila kekal mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli pada fasa kedua pemilihan parti yang berlangsung di tujuh cabang di Selangor hari ini.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuh sokongan di Selangor apabila kekal mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli pada fasa kedua pemilihan parti yang berlangsung di tujuh cabang di Selangor hari ini.

Tujuh cabang berkenaan ialah Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang.

Menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 4,978 undi sementara Mohd Rafizi memperoleh 4,385 undi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu mendapat sokongan di cabang Gombak, Kuala Langat, PJ Utara dan PJ Selatan sementara Mohd Rafizi memperoleh sokongan di cabang Klang, Puchong dan Selayang.

Ini menjadikan undian terkumpul yang diperolehi Mohamed Azmin setakat ini di Selangor berjumlah 14,315 undi manakala Mohd Rafizi yang juga naib presiden PKR mendapat sebanyak 12,948 undi.

— BERNAMA