Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini, meminta kerajaan Pakatan Harapan membentangkan perjanjian penyelesaian jadual pembayaran 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Katanya, perjanjian penyelesaian berkenaan adalah untuk memastikan setiap ringgit dapat dikembalikan ke Malaysia.

“Kita buat perjanjian pada tahun 2015 dengan pihak Abu Dhabi. Dalam perjanjian itu, kita menerima US$1 billion dari IPIC (International Petroleum Investment Co). Selepas itu dia bersetuju untuk membayar balik US$3.5 billion kepada kita dan inilah yang dia kata penukaran aset dengan hutang, kita akan dapat balik US$6.5 billion yang merupakan penyelesaian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya nak usahakan ini selepas pilihan raya, sebab itu kena buat perjanjian penyelesaian dan dia wajib bayar balik. Kita ada tempoh sehingga tahun 2020. Jadi, saya minta Pakatan Harapan bentangkan perjanjian penyelesaian biar orang tahu apa sebenarnya. Kita tiada apa hendak lindung,” tambah Najib.

Katanya, aset 1MDB seperti Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX) tidak seharusnya ‘dihancurkan’ kerana ia boleh mendatangkan keuntungan.

“Menteri Kewangan berkata projek TRX boleh menguntungkan dan sebagainya, jadi janganlah kita pulak menghancurkan aset 1MDB kalau kita boleh dapat keuntungan. Kita ada pembangunan pajakan-pinjaman di sana, syarikat Australia yang terkemuka, HSBC dan juga syarikat lain yang menjadi pelabur.

“Kita tetapkan rel berkelajuan tinggi di Bandar Malaysia supaya nilai kawasan berkenaan meningkat. Jadi bila aset Bandar Malaysia meningkat, kita boleh bayar hutang 1MDB. Saya berharap jangan dipolitikkan hal ini,” katanya.

Menurut laporan berita, 1MDB sudah membuat semua pembayaran diperlukan sebagai sebahagian penyelesaian antara dana berkenaan dengan IPIC. 1MDB dikehendaki membayar IPIC kira-kira US$600 juta menjelang 31 Disember 2017 sebagai sebahagian penyelesaian perjanjian yang dicapai pada April tahun lalu selepas 1MDB mengingkari bonnya, menyebabkan syarikat Abu Dhabi itu meminta mahkamah London menimbang tara tuntutan berjumlah kira-kira US$6.5 bilion. – MalaysiaGazette