KUALA LUMPUR – Pegawai media di semua kementerian diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pengamal media dalam usaha menyalurkan maklumat berkaitan kerajaan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerjasama itu penting bagi memastikan fakta yang dilaporkan mengenai setiap kementerian adalah tepat dan benar.

“Saya merayu kepada semua untuk beri kerjasama penuh kepada wartawan kerana mereka mempunyai tugas yang berat. Kerja mereka bukan senang kerana bila ada isu mereka ditugaskan untuk mendapatkan ulasan daripada kementerian. Jadi apabila mereka melaksanakan tugas sedemikian, saya minta kerjasama penuh diberikan.

“Apa yang kita mahu fakta penuh dan laporan yang tepat serta disahkan dapat diberikan kepada masyarakat dan membawa manfaat kepada semua. Jadi saya harap wartawan akan diberi sokongan penuh oleh menteri-menteri dan kementerian mereka,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Wisma BERNAMA hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan beberapa wartawan berhubung layanan segelintir pegawai media yang kurang memuaskan.-BERNAMA