JSPT
Pegawai kanan berusia 56 tahun berpangkat Senior Asisten Komisioner yang disiasat oleh SPRM tiba untuk permohonan reman kerana disyaki disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM100,000 antara Ogos 2017 hingga Ogos lalu di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bergelar ‘datuk’ yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran terlibat dengan rasuah melebihi RM100,000 direman selama lima hari sehingga Selasa depan.

Permohonan reman individu berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) terbabit dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Shawira Abdul Halim membenarkan SPRM menahan individu terbabit bagi membantu siasatan kes yang dilakukan berhubung operasi trafik di Pulau Pinang pada September lepas.

Siasatan terhadap kes tersebut adalah ketika beliau memegang jawatan sebagai pengarah JSPT.

Sumber SPRM memberitahu, seramai 11 individu dalam Polis DaRaja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kes itu turut disiasat.

Terdahulu, pegawai kanan PDRM berusia 56 tahun itu hadir buat kali kedua hari ini selepas majistret yang sepatutnya mengeluarkan permohonan reman tiada di mahkamah pagi tadi.

Beliau hadir diiringi beberapa pegawai agensi penguatkuasa undang-undang itu dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan tangan bergari.

Mereka tiba pukul 2.45 petang dengan menaiki Proton Preve warna kelabu milik SPRM.

Pegawai kanan terbabit ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini jam 7.10 malam semalam.

Turut disita sewaktu tangkapan dibuat, sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S8 Plus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast