Home Seni Hidup Lama menyepi bukan dilarang suami, kata Irma

Lama menyepi bukan dilarang suami, kata Irma

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Irma Hasmie yang semakin sepi dalam industri seni menafikan kehilangannya adalah kerana tidak mendapat keizinan daripada suaminya.

Sebaliknya Irma sendiri yang tidak mampu memberikan komitmen lain dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab untuk menjaga dua cahaya matanya bersama Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan.

Tambahnya, suaminya tidak pernah menghalang dan sentiasa memberikan sokongan kepadanya dalam kerjaya jika mahu kembali berlakon.

“Sejak dari awal lagi suami tidak pernah halang pun malah dia sokong tetapi sejak berkahwin dan ada anak-anak tumpuan saya lebih kepada mereka.

“Tambahan pula waktu berada di lokasi adakalanya tidak menentu dan saya bimbang tak dapat berikan komitmen selain bimbang keluarga pula terabai.

“Insya-Allah suatu hari nanti jika tiba masanya saya pasti akan kembali berlakon,” katanya.

Irma memberitahu, kali terakhir dia berlakon sekitar empat tahun lalu dan dia turut mengakui berasa rindu untuk kembali merasai keseronokan berada di set penggambaran.

Malah kata Irma, sehingga hari ini dia masih menerima undangan berlakon namun terpaksa menolak dengan baik kerana ada di antaranya memerlukan dia berada di luar Kuala Lumpur.

“Baru-baru ini Abang Rashid Sibir ada telefon tawarkan saya satu watak drama arahannya… Memang teruja juga dengan peranan itu tetapi jadual yang padat dan fikir anak-anak saya terpaksa tolak.

“Sekarang pula saya tiada pembantu untuk tolong uruskan anak-anak dan buat semuanya sendiri dengan bantuan suami,” ujarnya.

Pun begitu kata Irma, dia masih lagi setia mengendalikan program bual bicara Assalamualaikum di TV Al Hijrah yang memasuki tahun kelapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast