KUALA LUMPUR- Nilai ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila dibuka lebih rendah hari ini kerana pelabur tidak memasuki pasaran sementara menantikan pembentangan bajet 2019 Jumaat depan, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit adalah 4.1710/1750 berbanding dolar AS daripada 4.1680/1710 pada Khamis.

Ketua Dagangan Oanda Asia Pasifik, Stephen Innes, berkata pembentangan bajet 2019 menunjukkan arah pentadbiran baharu dengan pelabur memberikan tumpuan terhadapnya.

“Ringgit dijangka meningkat lebih tinggi dan menguji tahap 4.18, menjelang pembentangan bajet berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat luaran katanya, ulasan oleh Naib Presiden Rizab Persekutuan yang baru dilantik, Richard Clarida, bahawa lebih banyak peningkatan kadar faedah adalah kaedah terbaik kepada bank pusat AS yang terus mengukuhkan dolar AS.

“Ini adalah petanda bahawa satu lagi peningkatan kadar faedah dijangka pada Disember,” katanya.

Bagaimanapun, berbanding mata wang utama, ringgit didagangkan kebanyakan tinggi.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0181/0221 daripada 3.0214/0242 pada Khamis, bagaimanapun berbanding yen Jepun, ia susut kepada 3.7105/7144 daripada 3.7098/7135.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.3460/3528 daripada 5.3780/3835 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7416/7466 daripada 4.7549/7595. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast