Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohd Aris menyifatkan keputusan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan kaum bumiputera.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan meneruskan perjanjian konvensyen tersebut, ia akan memberikan satu implikasi yang amat besar terhadap asas-asas pembinaan negara semenjak merdeka.

Jelas beliau, ia melibatkan perkara-perkara yang sudah termaktub di dalam perlembagaan negara dan perjanjian kontrak sosial yang termeterai antara pemimpin Melayu, India dan Cina sewaktu menuntut kemerdekaan dulu.

“Pelobi-pelobi ICERD ini sudah lama melobi agar Malaysia meratifikasikan konvensyen antarabangsa ini. Sejak dari zaman Barisan Nasional (BN) memerintah lagi, perkara ini sudah timbul.

“Namun ketika itu, BN mengambil sikap untuk tidak melayan kepada desakan agar menandatangani perjanjian yang dilihat akan mengganggu gugat asas pembinaan dan perlembagaan negara.

“Meratifikasikan ICERD ini pastinya akan memberikan kesan kepada kedudukan Islam, orang Melayu, institusi Beraja dan perlembagaan negara kerana antara isi kandungan perjanjian tersebut dalam isu  definisi dan skop diskriminasi adalah sangat luas di mana segala bentuk yang bersifat diskriminasi di negara ini termasuk hak istimewa, politik dan undang-undang perlu dihapuskan.

“Antaranya adalah termasuk mengubah dasar kita, di mana undang-undang yang dilihat bersifat diskriminasi, termasuklah Perkara 153 dalam perlembagaan akan dimansuhkan dan lain-lain lagi yang berhubung kait dengan hak-hak istimewa orang Melayu dan anak-anak Sabah dan Sarawak di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil Faiz menegaskan, orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak sudah tentu merasa amat bimbang sekiranya kerajaan meratifikasikan konvensyen ini di mana ia dilihat sebagai satu cubaan untuk menghilangkan hak-hak istimewa hak kaum bumiputera di negara ini.

Katanya, apatah lagi dalam keadaan politik negara hari ini yang memperlihatkan ada usaha pihak tertentu untuk menekan institusi raja, agama Islam dan hak istimewa kaum Bumiputera  pihak tertentu di dalam kerajaan baru hari ini.

Dalam menangani isu ini, Najmil yang juga merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berpandangan, kerajaan perlulah berbincang dengan orang awam khususnya orang Melayu yang menjadi majoriti rakyat di negara ini lantaran perjanjian ICERD itu ternyata mampu memberikan kesan kepada kedudukan orang Melayu di negara ini.

“Hari ini, kebimbangan orang Melayu mengenai isu konvensyen ICERD ini telah disuarakan melalui media sosial, bahkan NGO-NGO dan parti politik Melayu telah berhimpun di Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan dalam isu ini.

“Saya bimbang, sekiranya kerajaan meneruskan persetujuan dan perjanjian terhadap konvensyen ini tanpa mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan wakil-wakil pemimpin NGO dan politik bumiputera, kelak boleh mencetuskan provokasi yang tidak diingini terhadap kaum bumiputera yang boleh menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati yang tidak dapat dikawal lagi.

“Sekiranya ini berlaku, maka keamanan dan kesejahteraan negara boleh tergugat bahkan hubungan antara kaum juga akan bertambah kritikal di mana ianya tidak baik untul sebuah negara berbilang bangsa seperti di Malaysia ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette