Penjawat awam, Nur Nazurah Mohd Nasir menunjukkan buku
Penjawat awam, Nur Nazurah Mohd Nasir menunjukkan buku "Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2019" pada pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim yang mewakili Pas ‘tidak sabar’ untuk melihat hasil pendekatan penjimatan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) tahun ini.

Katanya, ini kerana tidak banyak yang diberikan terhadap pembangunan dan rakyat, justeru sudah tentu kerajaan itu perlu memastikan ia langkah itu memberikan impak positif kepada kedudukan negara pada tahun depan.

“Beberapa kaedah atau metodologi yang digunakan. Kita ingin melihat bajet ini dikatakan akan menjimatkan wang negara. Jadi, ini kita sedang melihat hasilnya pada tahun depan adakah penjimatan yang dicanang ini akan berjaya dilakukan atau tidak,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019 hari ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata, pembentangan hari ini tidak memberikan khabar gembira berbanding bajet kerajaan terdahulu malah ia hanya hasil tiruan daripada Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kita melihat belanjawan ini satu belanjawan kali pertama sebagai kerajaan baharu tetapi banyak copy paste sebelum ini cuma ada sedikit perubahan dari segi perbandingan peruntukan tahun lepas untuk nampak perbezaan

“Peruntukan untuk Sabah dan Sarawak contohnya ditambah sedikit lebih kurang RM100 juta perbezaan menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan cuba membuat satu unjuran yang membezakan di antara BN dan PH,” katanya lagi. -MalaysiaGazette