KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berjaya menambat hati rata-rata rakyat Malaysia khasnya masyarakat India di negara hanya dengan sebuah video berdurasi 25 saat hari ini.

Beliau mengucapkan ‘Selamat Hari Deepavali’ kepada semua yang menyambut perayaan itu dalam cara paling unik iaitu menggunakan bahasa Tamil dengan fasih.

Bersesuaian dengan portfolio beliau menerajui Kementerian Kesihatan (KKM), Dzulkefly turut prihatin dalam memastikan semua rakyat Malaysia berhati-hati ketika makan serta mengawal pengambilan gula pada musim perayaan.

“Vanakkam, saya Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan anda memohon anda kurangkan serta mengawal dari memakan makanan manis-manis ketika pada Deepavali kali ini.

“Jangan ambil makanan bergula dengan banyak sangat. Kepada semua masyarakat India, saya ucapkan Selamat Hari Deepavali,” katanya.

Video tersebut juga telah menjadi viral dan dikongsi oleh pelbagai dalam laman sosial terutamanya ‘Whatsapp’ serta Facebook, Twitter dan Istagram.

Ianya juga mendapat reaksi positif netizen khasnya masyarakat India yang tampak begitu kagum bukan sahaja dengan keramahan beliau sebaliknya kepetahan bercakap Tamil dan tidak lupa fokus utama memerangi penyakit diabetes.

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Statistik daripada Institut Diabetes Kebangsaan (NADI) pernah melaporkan kira-kira 2.5 juta orang dewasa di Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit diabetes dan statistik dalam rekod menunjukkan hampir separuh daripada rakyat negara ini tidak sedar mereka menghidap kencing manis.- MalaysiaGazette