Smart Selangor Command Centre (SSCC) dalam satu kenyataan hari ini berkata lokasi yang terjejas ialah Jalan Benteng dan Jalan Kenangan di Kapar serta Taman Meru Makmur 2 di Meru.
“Di Kapar, hujan lebat sejak awal pagi tadi turut menyebabkan paras air Sungai Kapar meningkat dan berlaku limpahan air disebabkan terdapat ban yang ditarah penduduk setempat.
“Berikutan itu, beberapa langkah penyelesaian dibuat di kawasan terjejas termasuk menggali muara Sungai Kapar serta menambah pam di pintu air Sungai Kapar bagi menangani keadaan banjir tersebut,” katanya.
Sementara itu di Meru, banjir kilat di Taman Meru Makmur 2 menyebabkan sebuah rumah penduduk di situ terjejas.
Menurut kenyataan itu, beberapa agensi berkaitan diarahkan untuk memantau keadaan di kawasan tersebut berikutan air belum surut sepenuhnya.
“Bagaimanapun setakat ini tiada pusat perpindahan dibuka di lokasi terjejas di Kapar dan Meru. SSCC berharap banjir kilat ini akan surut sepenuhnya lewat petang ini berikutan hujan sudah berhenti,” katanya.
— BERNAMA