KUALA LUMPUR – Tiga bintang popular iaitu Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz bakal berkongsi pentas berprestij di Istana Budaya pada tahun hadapan.
Dikenali Konsert Soul Sisters, ia akan berlangsung dua jam dan diadakan selama dua malam iaitu 5 dan 6 April depan.
Penganjur konsert, Pengarah Urusan Edd Razhe Entertainment (ERE), Edd Razhe berkata, konsert tersebut bakal menampilkan sisi berbeza tiga artis wanita itu yang akan membuat persembahan.
“Konsert Soul Sisters akan berlatarbelakangkan sepenuh muzik ‘soul R&B’ yang tidak pernah lagi dilakukan di pentas Istana Budaya.
“Saya mahu membawa sesuatu kelainan untuk peminat muzik genre R&B.
“Pemilihan tiga artis wanita ini juga dibuat persetujuan ramai berdasarkan kredibiliti mereka kerana cukup terkenal dalam menjiwai muzik R&B,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert Soul Sisters di sini hari ini.
Selain Edd Razhe, konsert itu turut menampilkan Datuk Abdul Nasser Abu Kassim sebagai penasihat, Datuk Aziz Bakar sebagai pengarah dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal.
Nama Edd Razhe bukan lagi asing dalam industri hiburan di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Sebelum ini, beliau bertanggungjawab mencungkil bakat, mengilap dan menguruskan kerjaya bintang terkenal iaitu Feminim, Maya Karin, D Boyz, Tam Suhaimi dan Yasin Sulaiman.
Beliau juga pernah bertugas dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia dan kini merupakan pagawai kanan di syarikat penerbangan AirAsia.
Edd Razhe menambah, selain Istana Budaya dia merancang untuk membawa konsert yang sama di dua venue lagi di luar negara pada masa akan datang.
Jelas beliau, satu single baharu juga akan dicipta khas nyanyian bersama Misha, Siti Sarah dan Noryn yang bakal dikeluarkan pada awal tahun depan.
Sementara itu, tiket-tiket konsert berharga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinium), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) boleh dibeli ditempah mulai menerusi www.airasiaredtix.com – MalaysiaGazette