Shahrul Anuar Zainun, 44 bersama isterinya Amnah Saidin membersihkan kediaman mereka yang dimasuki air semasa banjir kilat petang tadi di Pangsapuri Inai, Pandan Indah, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 11 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR  – Hujan lebat lebih dua jam yang melanda ibu negara hari ini menyebabkan beberapa kawasan dan laluan terjejas akibat banjir kilat.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood berkata hujan lebat bermula kira-kira 4 petang itu mengakibatkan air bertakung di terowong di Jalan Tun Razak menghala ke KLCC dan Jalan Loke Yew.

Katanya Jalan Wirawati, Jalan Pudu Ulu, Jalan Pudu Perdana, Jalan Cheras dan Jalan Kepong turut terjejas akibat banjir kilat.

Beliau berkata anggota DBKL berada di lokasi kejadian untuk melancarkan aliran trafik dan melencongkan kenderaan daripada menggunakan laluan berkenaan.

“Kami turut menerima laporan air bertakung dalam surau Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang selain pokok tumbang di Jalan Ampang, dan kerja-kerja pemotongan sedang dilakukan Skuad Penyelamat DBKL dan bomba,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu tinjauan MalaysiasGazette di Pangsapuri Inai, Pandan Indah mendapati penghuni terjejas sibuk membersihkan kediaman masing-masing.

Seorang penghuni Shahrul Anuar Zainun ketika ditemui sedang membersihkan kesan-kesan banjir kilat yang melimpah masuk ke dalam kediamannya.

Hujan lebat berterusan petang tadi, menurut lelaki berusia 44 tahun itu menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air sehingga menjejaskan urusan harian di situ. – MalaysiaGazette