Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Arahan pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 5 November lalu ke atas Pusat Perubatan Mawar (MMC) melibatkan semua perkhidmatan kecuali perkhidmatan hemodialisis.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut diambil berikutan peletakan jawatan semua pengamal perubatan pakar di pusat perubatan berkenaan berkuatkuasa 1 November lalu.

“Ini tidak termasuk seorang pakar nefrologi yang telah memberikan notis untuk meletakkan jawatan pada 1 Disember ini dan kesemua notis peletakan jawatan tersebut telah diterima secara rasmi oleh kementerian pada 5 November lepas.

“Peletakan jawatan pakar-pakar tersebut telah menyebabkan pemegang lesen hospital gagal memastikan setiap perkhidmatan yang dilesenkan disediakan oleh pakar yang berkelayakan pada setiap masa yang jelas melanggar Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586),” katanya dalam kenyataan tersebut sebentar tadi.

Kenyataan itu menyusul sebagai merujuk laporan akhbar-akhbar arus perdana bertarikh 7 November 2018 berhubung arahan pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan ke atas MMC oleh KKM.

Tambah beliau, ketiadaan pakar-pakar berkenaan untuk memberikan perkhidmatan yang dilesenkan kepada Mawar Medical Centre akan memudaratkan kepentingan orang awam, sepertimana yang ditetapkan.

Rentetan itu kata Dzulkefly, KKM telah mengadakan satu perbincangan bersama pihak hospital swasta itu pada Jumaat 9 November lalu dengan dipengerusikan Timbalan Menteri Kesihatan Dr.Lee Boon Chye.

“Kementerian telah meneliti penjelasan yang diberikan oleh premis dan sehubungan itu telah mengeluarkan surat bertarikh 12 Nov 2018 untuk memaklumkan keputusan hasil perbincangan itu.

“MMC diberikan tempoh dua bulan daripada tarikh surat tersebut untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pelesenan MMC.

“Manakala arahan kementerian melalui surat awal bertarikh 5 November lepas masih terpakai yang mana MMC perlu mengemukakan permohonan pindaan lesen bagi menggugurkan perkhidmatan-perkhidmatan yang dilesenkan (SELAIN perkhidmatan hemodialisis), serta menurun taraf jenis kemudahan jagaan kesihatan daripada hospital swasta kepada pusat hemodialisis swasta; dan MMC tidak boleh beroperasi tanpa pakar yang berkelayakan pada ‘bila-bila masa’.

“Sekiranya gagal mematuhi syarat yang dinyatakan di atas, KKM akan mengambil tindakan undang-undang selaras dengan Akta 586.

“KKM ingin menegaskan apa jua tindakan yang diambil adalah demi menjaga kepentingan dan keselamatan pesakit serta kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette