Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan siapa yang mampu membayar deposit sebanyak 20 peratus untuk membeli kediaman melalui Skim FundMyHome.

Ini kerana melalui skim berkenaan, pembeli perlu bayar deposit atau wang pendahuluan 20 peratus.

“Saya belek laman web FundMyHome tadi, harga deposit yang perlu dikeluarkan berada dalam lingkungan RM65,000 dan ke atas. Ada yang lebih.

“Cuba lihat gambar dari portal berkenaan. Jika ada sesiapa yang berminat, perlu membayar deposit sekurang-kurangnya RM100,000 dan unit ini hanya dijangka siap pada tahun 2020,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, nampaknya Menteri Kewangan tidak memahami keperluan dan kemampuan pembeli rumah pertama yang kebanyakannya merupakan anak muda.

Najib bimbang disebabkan skim itu, akan ada yang menggunakan jalan pintas dan berhutang untuk melunaskan pembayaran deposit ini, sekaligus menambah lagi beban kewangan mereka tanpa kepastian pun selepas lima tahun mereka mampu untuk memiliki rumah tersebut.

Jelasnya, skim itu ternyata berbeza semasa Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, yang mana pembeli yang sukar membayar deposit diberi bantuan sebanyak 10 peratus.

Malah, kerajaan dahulu menawarkan Skim Perumahan Belia, yang mana pembeli dapat pinjaman 100 peratus kerajaan bantu bayar ansuran bulanan RM200 sebulan untuk tempoh 2 tahun.

Melalui Skim MyDeposit pula kerajaan membayarkan deposit 10 peratus untuk pembeli rumah pertama dengan jumlah maksimum RM30,000 dan Rumah Transit Belia pula belia boleh menyewa untuk 5 tahun, dengan kadar sewa 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Malah, sebahagian sewa dipulangkan semula selepas 5 tahun, supaya ia boleh dijadikan wang deposit

Kerajaan BN juga mengusahakan perumahan mampu milik di seluruh negara dan memastikan harga jualan lebih rendah daripada pasaran, sebanyak yang kita boleh usahakan.

“Inisiatif-inisiatif yang saya sebut di atas ini, Kerajaan BN laksanakan dahulu dengan memikirkan bagaimana cara terbaik untuk membolehkan rakyat memiliki kediaman. Dasar-dasar kita membantu pemilikan rumah dan kita mengambil pendekatan pro-rakyat,” ujar beliau.

Sambil menyifatkan pendekatan hari ini sudah berbeza, Najib berkata, Kerajaan PH sepatutnya memikirkan dengan lebih terperinci mengenai segala inisiatif yang diumumkan termasuk kesan jangka panjang kepada rakyat.

“Jangan sekadar melepas batuk di tangga.

“Mungkin kerana gaji bulanan Menteri hari ini, sebulan sahaja dah mencukupi untuk bayar deposit rumah ikut pengumuman baru ini. Jadi mereka tidak memahami isu dan keperluan rakyat,” sindirnya. – MalaysiaGazette