Dua anggota polis berpangkat Ketua Polis Daerah (OCPD) dan seorang berpangkat inspektor dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan perintah reman berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka di Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Status penyiasatan operasi ‘Gopi’ yang merupakan orang tengah antara tauke judi dengan pegawai kerajaan sebelum ini masih lagi samar-samar walaupun sudah hampir setahun dilakukan.

Masih timbul persoalan apa terjadi dengan Gopinathan Krishnan atau lebih dikenali ‘Gopi’ yang sebelum ini ditahan kerana dipercayai menjadi orang tengah di antara pihak berkuasa dengan sindiket judi.

Lelaki ini didakwa membantu mewujudkan sebuah konsortium bagi mengumpul dana dalam kalangan operator judi, khusus untuk tujuan pengagihan wang rasuah kepada pegawai penguatkuasa.

Menurut Timbalan Menteri Dalam negeri (KDN), Datuk Mohd Azis Jamman, beliau tidak dapat mendedahkan status penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaliknya agensi itu lebih layak mengulas tentang perkara tersebut.

“Operasi Gopi ini sebenarnya dijalankan oleh SPRM tahun lepas dengan dakwaan keterlibatan anggota polis dalam kegiatan perjudian haram serta pelacuran. Induvidu bernama Gopi ini dikatakan dalang sindiket ini.

“Dalam serbuan ketika itu, seramai 12 suspek telah ditahan oleh SPRM yang sebahagian besarnya adalah pegawai polis. Sehingga kini, pihak KDN masih lagi menunggu lagi status berhubung siasatan itu,” katanya di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka (PH), Khoo Poay Tiong yang mahu tahu tentang status dan hasil laporan siasatan kes Gopi itu terutamanya tentang kedudukan anggota polis serta pegawai kerajaan dalam melindungi aktiviti haram seperti perjudian.

Dalam pada itu, jelas Mohd Azis, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai polis yang bersekongkol dengan sindiket judi haram.

Malah beliau turut memberi amaran kepada semua anggota dan pegawai agensi penguatkuasa lain yang turut terbabit dalam usaha membanteras kegiatan judi haram di negara ini.

September lepas, SPRM melakukan operasi membanteras perjudian haram secara besar-besaran sehingga tertangkapnya Gopi yang dikatakan mempunyai ‘kuasa luar biasa’ menukarkan pegawai kanan termasuk Ketua Polis daerah yang enggan bekerjasama dalam melindungi sindiket judi ha­ram.

Media turut melaporkan Gopi berupaya berbuat demikian kerana mempunyai hubungan rapat dengan pengurusan kanan pasukan penguat kuasa.

Sindiket dikatakan sanggup me­ngeluarkan modal antara RM10 juta hingga RM15 juta sebulan bagi tujuan memberi rasuah kepada anggota-anggota agensi penguatkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) demi memastikan kegiatan haram mereka tidak diganggu.

Terdapat dakwaan dalam beberapa tindakan oleh pihak berkuasa ke atas pengusaha pusat hiburan menemukan senarai pembayaran kepada anggota berkenaan secara bulanan dari peringkat bawahan termasuk bayaran penyelesai­an bil hiburan, minuman keras serta gadis penghibur yang mencecah ribuan ringgit. –MalaysiaGazette