Sebahagian ADUN pembangkang di Kedah yang keluar dewan sebagai protes terhadap Dr. Ku Rahman Ku Ismail hari ini.

ALOR SETAR – Semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang PAS dan Barisan Nasional (BN) Kedah hari ini bertindak keluar dewan secara serentak apabila tiba giliran ADUN Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail membahaskan Rang Undang-undang Perbelanjaan Negeri 2019.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Muhammad Sanusi Md Noor berkata mereka berbuat demikian atas semangat setia kawan sebagai blok pembangkang menunjukkan protes terhadap tindakan Ku Abdul Rahman yang keluar daripada UMNO untuk menyokong Pakatan Harapan (PH)

“Kita menentang budaya melompat parti dan termasuk kita menentang Pakatan Harapan yang sentiasa memujuk pembangkang sama ada di peringkat DUN dan persekutuan untuk masuk mana-mana parti dalam Pakatan Harapan untuk menguatkan parti mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, PAS Kedah memenangi 15 kerusi manakala BN menang tiga kerusi, namun persidangan DUN Kedah semalam dimaklumkan bahawa Ku Abdul Rahman keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.-BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast