Che Alias Hamid
Che Alias Hamid

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengehadkan pembelian hartanah oleh warga asing di negara ini, kata Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.

Beliau berkata, kementerian perlu menyemak semula kuota pemilikan rumah atau hartanah oleh warga asing dengan mempunyai garis panduan yang ketat dan terperinci serta perlu dipatuhi.

Katanya, beliau ada menyarankan perkara itu dalam soalannya kepada kementerian berkenaan di Parlimen semalam mengenai kaedah yang sesuai untuk mengekang pembelian hartanah oleh warganegara asing, selain daripada penetapan nilai ambang yang pernah dikuatkuasakan sejak tahun 2009.

“Berdasarkan soalan itu, saya menyarankan kementerian berkenaan agar perlu segera menjalankan mekanisme lebih terperinci untuk diguna pakai oleh pihak berkuasa negeri bagi meminimumkan pembelian hartanah oleh warga asing.

“Menerusi  data daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, jumlah unit rumah yang dimiliki warga asing melalui Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi tempoh 2007 hingga 2018 adalah sebanyak 4,499 unit rumah.

“Warganegara China merupakan pembeli hartanah terbanyak iaitu dengan jumlah 1,664 unit. Kita tidak mahu jika bilangan ini bertambah saban tahun akan memberikan banyak kesan dalam jangka panjang khususnya kepada rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Selain itu, menurut Che Alias, berkaitan soalan tambahannya mengenai rasional kerajaan memperkenalkan program Malaysia My Second Home (MM2H) kepada warga asing, memberikan kelebihan kepada mereka untuk membeli hartanah dengan harga lebih rendah daripada sebelum ini.

Beliau berkata, kenapa kerajaan tidak meneruskan sahaja polisi serta undang-undang yang dikenakan ke atas mereka sebelum ini untuk membeli hartanah di negara ini.

“Malahan kerajaan boleh mengkaji semula polisi dan undang-undang sebelum ini mengikut kesesuaian dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast