Sic Junior Team AFB
Md Danial Syahmi

KUALA LUMPUR – Pasukan Sic Junior Team AFB Tech Racing yakin akan menampilkan aksi terbaik meskipun ketiadaan pelumba utamanya, Md. Danial Syahmi.

Pengurusnya, Ahmad Fuad Baharudin berkata, Md Danial sepatutnya beraksi dalam saingan Wira KBS Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Katanya, pelumba lain seperti Harith Haziq Zamri, Danel El Fahim dan Md Sharul Ezwan Md Sharil mampu memberikan cabaran dan seterusnya akan menamatkan saingan di atas podium.

“Memang satu kerugian besar kepada pasukan dengan ketiadaan Danial dan juga kepada dirinya sendiri.

“Namun, ia tidak boleh dielakkan dalam dunia perlumbaan dan apa sahaja boleh berlaku.

“Kami doakan dia cepat sembuh dan menjadikan insiden ini untuknya bangkit lebih kuat pada masa akan datang.

“Harith antara pelumba pernah menaiki podium pada musim ini meskipun penggal pertama dia beraksi dalam kategori WIRA KBS dan tdak mustahil dia mampu mengulanginya minggu ini,” ujarnya dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad menjelaskan, pasukan itu tidak menggantikan tempat Danial dengan pelumba lain tetapi pada minggu ini, pelumba CP115, Md Idil Fitri akan beraksi dalam kategori WIRA KBS.

“Dengan pengalaman beraksi bersama jentera yang lebih laju sebelum ini, katanya, tidak mustahil Md Idil mampu menempatkan diri di atas podium,”ujarnya. – MalaysiaGazette