Mohamad Hasan
Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Pemikiran politik Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tras, Chow Yu Hui dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong dalam isu label bumiputera dan bukan bumiputera disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap sifat sebenar kemajmukan di negara ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seruan kedua-dua wakil rakyat DAP itu tidak disokong oleh satu pertimbangan komprehensif malah boleh dianggap sebagai usaha radikal.

“Perdana Menteri sendiri telah menegaskan Malaysia perlu berfikir mendalam sebelum meratifikasi ICERD malah beliau mengakui ada bahagian daripada konvensyen tersebut sangat tidak bersesuaian dengan ciri-ciri negara kita.

“Yang jelas, tindakan dua ADUN DAP ini bukan sahaja berlawanan dengan kehendak suara awam malah sangat bertentangan dengan pendirian pemimpin tertinggi dalam pakatan yang mereka sertai sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lepas, kedua-dua ADUN DAP tersebut menyatakan pengisytiharan Deklarasi Setapak adalah bukti kepercayaan DAP bahawa prinsip kesaksamaan antara kaum mesti diterapkan dalam proses pembangunan negara.

Dalam Deklarasi Setapak, pendirian DAP sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’.

Mohamad juga berkata, tanpa meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), ia tidak akan menjadikan Malaysia lebih mundur.

“Deklarasi Setapak tidak menggambarkan aspirasi Perlembagaan Persekutuan, realiti demografi sosial Malaysia dan ketiadaan sebarang bukti konkrit bahawa ICERD akan merawat kesenjangan di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan digesa mempamerkan ketegasan dengan membuat kenyataan lebih muktamad berhubung isu ini agar ia tidak terus menjadi polemik politik, khususnya parti komponen PH.

“Saya sekali lagi ingin menegaskan ketidakperluan Malaysia untuk meratifikasinya. Setidak-tidaknya buat masa sekarang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette