Khir Toyo.
Khir Toyo.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo menyifatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan seperti dirinya yang dahulu.

Beliau berkata, harapan menggunung rakyat kini hancur apabila mereka sedar Mahathir  sudah jauh sekali berbeza hari ini.

Menurutnya, sehingga hari rakyat tidak mendengar arah tuju yang jelas dan apa rupa bentuk perubahan yang ingin dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Selain mengutuk sistem yang telah sebati dengan mereka, ironinya sebahagian besarnya diperkenalkan oleh orang yang sama.

“Kekalutan ini bertambah parah lagi, bila Tun M dikelilingi oleh pak menteri yang hebat di mulut tapi kosong tindakan. Cakap lain buat lain, hasilnya haru biru kemudian pegawai dipersalahkan, pak menteri cuci mulut, kaki dan tangan.

“Bila pegawai susun cadangan dan dasar baru, pak menteri tolak mentah-mentah kadang tak baca pun, yang keluar dari mulut mereka ini polisi kerajaan lama, kami PH ada cara kami untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Tambah Khir, natijahnya hingga ke hari ini tiada perkara baru yang mereka lakukan kecuali mengulangi polisi lama dengan jenama baru.

Jelasnya, tiada faedahnya menyalahkan pegawai kerajaan kerana kegagalan menteri dan ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri.

“Tun ,sayugianya rakyat semakin resah dengan kos hidup yang semakin menyesakkan, dua tiga bulan lagi ramai yang lemas dan ini akan membawa petaka kepada negara.

“Tun, waspadalah apa yg ada di sekeliling Tun hari lebih banyak lalang dari padi. Depan mereka bercakap petah nenyalahkan orang lain bagai lalang tegak tinggi lakunya kerana mereka tak mampu jadi padi maka padilah dipersalahkan, mengapa ada padi dibendang sedang lalang tumbuh melata,” katanya. – MalaysiaGazette